TINJAU…. Bashir (kiri) bersama Dr Fary (kanan sekali) dan Mohd Dzulfaizal (dua kanan) ketika meninjau salah satu projek menaik taraf sistem perparitan (longkang) di kampung Lubok Temiang.
LABUAN: Sebanyak 75 projek kecil bernilaiRM1.5 juta yang bakal dilaksanakan bukan sahaja memberi manfaat kepada 27 buah kampung di pulau ini, tetapi juga memberi peluang kepada kontraktor Kelas G1 menjana pendapatan, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjuan ke tapak projek-projek kecil yang telah di kenal pasti untuk dilaksanakan di tiga buah kampung di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr, Fary Akmal Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dan pemimpin masyarakat setempat.
Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah meluluskan peruntukan khas yang sebelum ini telah dipohon oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa khusus untuk Wilayah Persekutuan Labuan.

USANG…. Bashir (tengah) bersama Dr Fary (empat dari kanan) ketika meninjau salah satu titian usang yang akan dibaik pulih semasa tinjauan ke kampung Patau-Patau Dua.
“Kita berterima kasih kepada Menteri Wilayah yang menyalurkan peruntukan khas ini untuk projek kecil yang akan memberi manfaat kepada seluruh kampung di Labuan, peruntukan ini juga secara tidak langsung akan mampu menjana ekonomi kontraktor yang bakal dilantik.
“Selepas ini kita akan membuat kertas kerja teknikal untuk proses melantik kontraktor berdasarkan prosedur yang ditetapkan” katanya.
Bashir juga berharap kementerian yang lain akan mengambil pendekatan yang sama mendapatkan peruntukan untuk disalurkan ke Labuan.
“Kita akan mengadakan perjumpaan dengan kementerian lain untuk pastikan Labuan tidak terpinggir dari arus pembangunan” katanya lagi.
Sementara itu, Dr, Fary turut menjelaskan antara projek-projek yang telah dikenal pasti termasuklah menaik taraf surau, gelanggang futsal, balai raya, jalan kampung, titian dan rumah-rumah penduduk kampung yang daif.