31 C
Kota Kinabalu
Isnin, April 21, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Program ‘Talk To Us’ Polis Bersama Pengusaha Homestay Mampu Jamin Keselamatan

Oleh: Cleo Will

RANAU: Program ‘Talk To Us’ Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau bersama para pengusaha homestay di sini baru-baru ini dijangka mampu menjamin keselamatan yang lebih kepada pengusaha dan pelanggan kelak.

Pertemuan yang diadakan di Dewan Mini Homestay Walai Tokou Kundasang pada hari Isnin lalu itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy bin Newton, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Ranau ASP Nurul Hafiz bin Mat Derus, Ketua Polis Balai Kundasang SI Jusman bin Saad dan beberapa anggota polis lain.

Manakala bagi pihak orang awam dan pengusaha homestay pula, diwakili oleh Pemaju Mukim Kundasang Mohd Aldie Gabintal, Penyelaras Homestay Walai Tokou Kohadie Watiman, Ketua Kg Sinisian Kaisin Watiman, MPKK Kg Sinisian Mahanis Jarun, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Nuil dan lain-lain.

Dalam ucapannya, DSP Sammy memberitahu bahawa objektif program diadakan ialah sebagai satu bentuk pendekatan Polis IPD Ranau kepada masyarakat dengan lebih rapat dan mesra.

“Di samping itu, melalui program ini, kita juga mahu mengetahui dan berkongsi makluman berkenaan kadar jenayah dan cara-cara pencegahan dan penyelesaian mengatasai jenayah.

“Dalam masa yang sama, kita juga dapat beramah mesra dan mengeratkan tali persaudaraan Polis IPD Ranau bersama pengusaha-pengusaha homestay sekitar kawasan Kundasang demi menaikkan nama baik Polis IPD Ranau,” kata beliau.

DSP Sammy menggalakkan dan menasihati para pengusaha homestay agar membuat pendaftaran kepada semua penginap homestay yang menginap agar dapat memantau segala tindakan penginap sekiranya ada berlaku sebarang kejadian atau jenayah dikalangan mereka.

Beliau turut menasihati semua pengusaha homestay agar turut membantu agensi penguatkuasa menjaga keselamatan dan harta benda para pelancong yang datang melawat Kundasang sempena tahun melawat Malaysia 2020.

“Kita berterima kasih kepada semua yang terlibat. Syukur, program telah berjalan lancar, baik dan mengikut perancangan serta mendapat maklum balas yang positif dari semua pihak,” jelas beliau.
TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN