Penghargaan..Ruhanah (kiri), Somsiah (tengah) dan Rohana
PITAS: Program Perantisan National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) melatih bakal pemimpin sekolah masa hadapan.
Menurut Ruhanah Omboyoh yang telah menamatkan Program Perantisan NPQEL di Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas pada 30 September lalu, penyertaannya dalam program tersebut selama hampir tiga bulan sangat memberi impak positif terhadap dirinya sebagai bakal pemimpin di sekolah akan datang.
Katanya, NPQEL yang dikelolakan oleh Institut Aminudin Baki (IAB), Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan prasyarat pelantikan pengetua/guru besar yang menetapkan sesiapa pun guru yang ingin menjadi pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah diwajibkan memiliki NPQEL selain syarat-syarat lain.
Berkhidmat selama empat tahun sebagai Guru Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Rukom Pitas, Ruhanah menjelaskan keinginan untuk menjadi ketua pentadbir mendorong beliau untuk mengikuti program tersebut bagi mendalami berbagai aspek terutama sekali dalam bidang kepengurusan dan kepimpinan yang berkesan.
“Sekalung penghargaan buat kedua-dua mentor, Puan Rohana Aling dan Puan Somsiah Ayu yang memberikan peluang belajar dan menimba pengalaman sekaligus sentiasa membimbing saya sepanjang program perantisan ini,” jelas Ruhanah.
“Saya juga ingin berterimakasih atas keprihatinan dan komitmen penyelia saya, Puan Hjh Kasmah Abdullah, bukan sahaja sentiasa bersedia membimbing dalam melaksanakan program intervensi malah sentiasa memberikan kata nasihat dan motivasi untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang berkualiti,” jelas Ruhana lagi.
Dalam pada itu, menurut Ruhanah, penyelia dan mentornya turut menyarankan guru-guru muda yang berkelayakan khususnya para penolong kanan di semua sekolah agar memohon dan mengikuti kursus NPQEL bagi memenuhi hasrat PPPM anjakan 5, memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.