LAWAT PAMERAN… Pegawai Pentadbir Daerah Kecil Sematan Mohd Ameerullah Roslan (depan kanan) meninjau ruang pameran agensi yang mengambil bahagian sempena Program Pelan Strategik Pertahanan Negara 3 Briged di Telok Melano, Sematan.
Oleh: Salwah Aramat
SEMATAN: Program Pelan Strategik Pertahanan Negara anjuran 3 Briged di Telok Melano hari ini berlangsung dengan jayanya apabila menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat serta pengunjung yang hadir seawal jam 8 pagi.
Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Pegawai Pentadbir Daerah Kecil Sematan, Mohd Ameerullah Roslan, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat dalam memperkukuh pertahanan negara.
Beliau berkata, hubungan strategik antara ATM dan rakyat amat penting dalam memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
Program yang berlangsung sehingga jam 4 petang itu bertujuan mendekatkan ATM dengan masyarakat, selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai peranan, keupayaan serta tahap kesiapsiagaan angkatan tersebut dalam mempertahankan negara.
Sepanjang program, pelbagai aset ketenteraan dipamerkan kepada pengunjung bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai fungsi dan kekuatan pertahanan negara, sekali gus meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap peranan ATM dalam landskap keselamatan nasional.

SUASANA PROGRAM… Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersembahkan pertunjukan tempur tanpa senjata dengan penuh semangat sempena Program Pelan Strategik Pertahanan Negara 3 Briged di Telok Melano, Sematan.
Turut menjadi tumpuan ialah persembahan tempur tanpa senjata yang mempamerkan kemahiran anggota tentera dalam mempertahankan diri serta menangani situasi mencabar dengan penuh disiplin, ketangkasan dan profesionalisme.
Suasana program turut dimeriahkan dengan persembahan pancaragam tentera yang menampilkan alunan muzik menghiburkan, sekali gus menarik perhatian pengunjung daripada pelbagai lapisan umur.
Pengunjung juga berpeluang meninjau Mini Survival Village yang mempamerkan teknik asas ikhtiar hidup, kemahiran lapangan dan gambaran pengalaman sebenar anggota tentera ketika melaksanakan operasi.
Dalam pada itu, orang ramai turut memanfaatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan pergigian percuma yang disediakan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan serta tanggungjawab sosial ATM kepada masyarakat.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan antara ATM dan rakyat, malah menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mempertahankan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria.



