Antara pelanggan yang hadir ke program Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Hap Seng Wholesale Mart pekan Ranau.
RANAU: program Jualan Keluarga Malaysia dapat reaksi positif dikalangan pengguna di daerah ini.
Ramai yang ditemui menyifatkan program itu baik dan sememangnya amat dialu-alukan namun tempuh dua hari tidak mencukupi bagi mereka yang tinggal jauh dari pekan.
Ramai mencadangkan kepada kerajaan supaya program itu diadakan setiap minggu dan memikirkan jenis barangan yang benar-benar keperluan asas dan mendesak kepada orang ramai seperti beras, tepung dan minyak masak.
“Barang-barang keperluan asas perlu diberi perhatian untuk diturunkan harga barulah rakyat dapat merasa dan menikmati apa itu program ‘Jualan Keluarga Malaysia'”,jelas salah seorang pengunjung yang enggan namanya disiarkan.
Menurutnya, program tersebut memang baik memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati harga barangan dengan harga yang lebih murah daripada pasaran biasa namun barang keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, garam dan gula tiada dimasukkan.
Tinjauan penulis sepanjang dua hari (18-19 Disember) program itu di Hap Seng Wholesale Mart dan perkarangannya di pekan Ranau, mendapati sebanyak 30 jenis barang yang terlibat dengan penurunan
harga daripada harga biasa.
“Kita mahukan kerajaan libatkan barangan utama (keperluan asas) dan tambahkan masa program ‘Jualan Keluarga Malaysia itu”, tambah pelanggan berkenaan.
‘Walkabout’ sempena program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Ranau telah dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Bin Samsir dan Ketua Cawangan KPDNHEP Tuaran, Saripuddin Melong.