Dr Alik mencuba rotan yang digunakan untuk hukuman sebat pesalah ketika melawat pameran Jabatan Koreksional Wilayah Persekutan Labuan.
LABUAN: Program Jelajah Wira Madani (PJWM) peringkat Wilayah Persekutan Labuan yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya menghimpunkan wargakerja agensi di bawah kementerian itu dalam suasana yang cukup harmoni.
Antara agensi yang terlibat dalam program yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) itu PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Koreksional Labuan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Program yang julung kalinya diadakan itu disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Alik Jeman.
Dr. Alik ketika berucap pada majlis itu berkata Program Jelajah Wira MADANI (PJWM) merupakan strategi turun padang mendekatkan wargakerja agensi dibawah Kementerian itu dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat.
Pendekatan ini katanya, secara langsung memberi peluang kepada warga KDN melihat sendiri keperluan masyarakat untuk mendengar isu yang dihadapi serta mendapatkan maklum balas bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata, pelaksanaan PJWM selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan pendekatan inklusif, prihatin dan berorientasikan rakyat, termasuk menerusi aktiviti sukan dan khidmat komuniti.
“Kerjasama rentas agensi melibatkan PACU, Kementerian Dalam Negeri, KDN, Jabatan Pendaftaran Negara, JPN serta agensi yang berkaiyan bukan saja membolehkan pelbagai perkhidmatan disampaikan dalam satu platform, tetapi juga menjadi ruang komunikasi dua hala untuk masyarakat mengemukakan pertanyaan, cadangan dan maklum balas secara terus kepada agensi Kerajaan”, katanya.
Sementara itu, pelbagai aktiviti telah termasuklah pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka dan pameran agensi dan jabatan di bawah KDN.



