ADVERTISEMENTspot_img

𝐎𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐊𝐔𝐏𝐌 𝐒𝐚𝐛𝐚𝐡 𝐄𝐥𝐞𝐜𝐭𝐫𝐢𝐜𝐢𝐭𝐲 𝐝𝐚𝐧 𝐒𝐓 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐢 𝐮𝐬𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐭𝐞𝐫 𝐝𝐢 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧

Anggota ST bersama SESB ketika membuat pemeriksaan di salah satu premis yang disyaki melakukan pintasan curi elektrik.

LABUAN: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) terus berusaha memperkukuhkan dalam menangani dan mengesan penyambungan haram dan usikan memintas meter yang menyebabkan penggunaan tenaga elektrik tidak direkodkan
melalui Ops KUMP (Kes Usikan Pepasangan Meter) yang di jalankan baru baru ini.

Menurut Chief Retail Officer Sabah Electricity, Ahmad Nassaruddin Kamarulzaman, tindakan memintas meter itu juga boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada penghuni premis dan orang awam.

Jelas beliau, operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan teknikal terhadap meter dan pepasangan elektrik di premis yang dikenal pasti.

Setiap penemuan akan direkodkan dan dinilai berdasarkan bukti serta prosedur yang ditetapkan sebelum tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, usaha menangani kecurian elektrik perlu disertai dengan tindakan mendapatkan semula bayaran bagi tenaga elektrik yang telah dibekalkan tetapi tidak direkodkan dalam bil.

“Bagi kes yang disahkan, Sabah Electricity akan mengira semula jumlah elektrik yang telah digunakan tetapi tidak dibayar melalui bil. Jumlah tersebut kemudiannya akan dituntut daripada pihak yang berkenaan.” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah yang dituntut adalah bayaran bagi elektrik yang telah digunakan tetapi tidak direkodkan dalam bil. Langkah ini penting bagi memastikan setiap penggunaan elektrik dibayar dengan sewajarnya serta menjaga keadilan kepada semua pelanggan yang membayar berdasarkan penggunaan sebenar.

“Jumlah kerugian hasil bagi setiap kes akan ditentukan selepas semakan bukti dan pengiraan berkaitan. Pengguna yang menerima notis tuntutan boleh mendapatkan penjelasan daripada Sabah Electricity berhubung asas pengiraan tersebut”, katanya.

Selain itu, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan kerana sambungan yang memintas meter atau pengubahsuaian meter secara tidak sah boleh meningkatkan risiko renjatan elektrik, kebakaran dan kerosakan peralatan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima sebarang tawaran untuk mengurangkan bil elektrik melalui kaedah yang melibatkan usikan meter atau sambungan tidak sah.

Sebarang tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan adalah tertakluk kepada hasil siasatan dan keputusan pihak berkuasa mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sabah Electricity akan terus bekerjasama dengan ST dalam menangani kes kecurian elektrik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan berkaitan meter atau sambungan elektrik boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di 15444 atau WhatsApp 019-852 5427.

Mengenai operasi tersebut yang turut dikenali sebagai Ops Spark 2026 pihak Suruhanjaya Tenaga telah mensyaki dua buah premis perniagaan telah melakukan kesalahan mencuri elektrik dengan memintas meter menyebabkan elektrik gagal merekodkan penggunaan sebenar.

Dua premis berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1996 Akta 447.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20, 000 dan tidak leboh RM 1 juta atsu penjara sehingga lima tahun atau kedua duanya sekali.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN