GAMBAR:SERAH… Zyee (tiga kiri) bersama Fauziah (kiri sekali) ketika menyampaikan sumbangan kepada Ramli sambil diperhatikan Noor Affatizah (tiga dari kanan) dan Rafeah (kanan sekali).
LABUAN: Program Jelajah Kami Prihatin anjuran Jabatan Penyiaran Labuan melalui LABUANfm bersama rakan strategik Labuan Shipyard Engineering (LSE) Sdn. Bhd bukan sahaja mencaknakan LABUAN fm menerusi tanggungjawab sosial tetapi juga mensejahterakan kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan, Fauziah Mohd Sidek berkata, program itu juga secara tidak langsung sebagai mendekati golongan yang kurang bernasib baik melalui aktiviti kunjung ziarah disamping menyampaikan bantuan mengikut keperluan penerima.
“ Secara tidak langsung program ini membolehkan penerima meneruskan aktiviti serta kehidupan dalam keadaan yang lebih selesa sekaligus mensehjahterakan kehidupan golongan keluarga yang kurang berkemampuan” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Kami Prihatin di Kampung Patau-Patau Dua, pada Jumaat.
Pada program tersebut pihak LABUANfm telah menyantuni seorang bapa tunggal yang juga seorang nelayan sepenuh masa, Ramli Ahmad untuk menyampaikan sumbangan keperluan makanan harian dan wang tunai RM1,000 tajaan QSR Brand.
Ramli Ahmad, 52, yang berdepan dengan kesulitan hidup selepas beliau kehilangan isteri dua tahun lalu terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan bapa kepada empat orang anak yang masih bersekolah.
Sementara itu, pihak LSE Sdn. Bhd yang menjadi rakan strategik LABUANfm menyumbangkan sebuah mesin pencuci pakaian dan satu unit dapur gas untuk keperluan bapa tunggal tersebut.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Bahagian Komunikasi dan Korporat (LSE) Sdn. Bhd, Cik Zyee Faiezah Dullie.
Hadir sama, Ketua Bahagian Rancangan, Noor Affatizah Sabtu dan Penerbit Program Jelajah Kami Prihatin, Rafeah Ibrahim.