SAYA TELAH DIVAKSIN…. Dari kiri Dr Ismuni, Bashir dan Rozman selepas menerima suntikan vaksin pada majlis pelancaran Imunisasi COVOD 19 Kebangsaan peringkat Labuan, pada Sabtu
LABUAN: Pemberian Vaksin Pfizer BioNTech fasa pertama melalui program Imunisasi COVID 19 kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JKNWP) berjalan lancar, pada Sabtu
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Timbalan Ketua Pegawai Ekasekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.
Pada program itu, Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menjadi pemimpin pertama diberi penghormatan untuk menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech diikuti, Dr Ismuni Bohari, Datuk Rozman Isli dan Rithuan Ismail.

TENANG…. Rithuan kelihatan tenang ketika menerima suntikan vaksin
Terdahulu Bashir ketika berucap pada majlis itu berkata, program imunisasi yang dijalankan di seluruh negara adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian dan menamatkan pandemik COVID-19.
“Walaupun vaksin ini tidak diwajibkan, saya merayu kepada semua yang layak untuk mendapatkan vaksin ini, marilah kita sama-sama putuskan rantaian jangkitan sebagai menghargai kemudahan yang kerajaan telah sediakan.
Bashir yakin sasaran Jabatan Kesihatan Labuan untuk 90 peratus penduduk Labuan divaksinasi akan dapat dicapai sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Sementara itu, Rithuan yang dtemui selepas menerima suntikan itu turut menyeru warga Labuan untuk segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan oleh kerajaan.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan wang yang agak besar dalam mendapatkan vaksin bagi memastikan setiap rakyat di negara ini sentiasa selamat daripada ancaman wabak COVID 19.
“Saya sendiripun sebelum menerima suntikan agak sedikit gelisah…tetapi bila masa kena suntik (vaksin) tidak rasa apa-apa pun. Alhamdulillah semuanya tenang dan dalam kedaan yang baik” katanya.