Coach Austin Orou
RANAU: Kelab RYFC Ranau bakal menganjurkan Program Asas Penjaga Gol Akar Umbi & Remaja sehari pada 19 April 2025 di Kompleks Sukan Ranau.
Program ini direka khas untuk penjaga gol muda yang ingin mempelajari teknik dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi benteng terakhir yang kukuh dalam pasukan mereka.
Penjaga gol sering kali dianggap sebagai posisi yang memerlukan kemahiran luar biasa, ketangkasan yang tinggi, dan ketahanan mental yang kuat.
Namun, di peringkat akar umbi, latihan khusus untuk penjaga gol sering kali diabaikan, menyebabkan ramai pemain tidak mendapat pendedahan dan latihan yang mencukupi.
Program ini hadir sebagai satu inisiatif untuk mengisi kekosongan tersebut dan memberikan latihan profesional kepada bakat muda yang ingin mengasah potensi mereka.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan oleh Kelab RYFC Ranau, sebagai sebahagian daripada usaha kelab dalam memperkasa latihan khusus untuk penjaga gol di daerah Ranau, serta membuka peluang kepada peserta dari daerah lain yang berminat untuk menyertai,” menurut Pengurus Kelab RYFC.
Program ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Coach Austin Orou, bekas penjaga gol Sabah FA yang telah beraksi di pentas bola sepak Malaysia selama 10 tahun (1992–2002).
Sepanjang kariernya, beliau telah membantu pasukan Sabah FA mencapai pelbagai kejayaan besar, termasuk, Naib juara Piala Presiden 1993, Juara Piala FA Malaysia 1995, Juara Liga Perdana Malaysia 1996, Naib juara Piala Malaysia 1996 & 2002, Juara Piala Sumbangsih 1996 (Sabah vs Singapura) dan Jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan Malaysia 2015.
Dengan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak profesional dan kejurulatihan, Coach Austin akan membimbing peserta dalam semua aspek penting seorang penjaga gol, termasuk teknik asas, taktikal permainan, serta persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran di padang.
Program ini menawarkan modul latihan komprehensif yang meliputi pelbagai aspek penjaga gol, termasuk, Teknik Tangkapan & Pengawalan Bola iaitu bagaimana cara yang betul untuk menangkap bola dalam pelbagai situasi, teknik asas dan lanjutan akan diajar supaya penjaga gol tidak mudah melakukan kesilapan selain itu, Drill Refleks dan Reaksi Pantas Penjaga gol yang diperlukan serta mempunyai refleks yang tajam untuk menyelamatkan bola dalam situasi genting.

Latihan ini akan membantu mereka meningkatkan reaksi pantas terhadap rembatan dan gerakan lawan.
Positioning dan Kawalan Kotak Penalti juga didedahkan bagi membantu peserta memahami bagaimana untuk berdiri pada posisi terbaik bagi mengurangkan sudut rembatan lawan dan meningkatkan keberkesanan dalam menyelamatkan bola.
Situasi Perlawanan dan Simulasi, di mana setiap peserta akan menjalani latihan dalam suasana perlawanan sebenar bagi menguji kemahiran mereka dalam situasi tekanan tinggi.
Penjaga gol adalah pemain terakhir dalam pertahanan pasukan, dan mereka perlu mempunyai mental yang kuat, ketahanan tinggi, serta keyakinan diri, aspek ini akan diterapkan dalam sesi bimbingan bersama Coach Austin.
Menurut Coach Keiru Jumin Ketua Jurulatih Utama Kelab RYFC, penjaga gol memerlukan latihan khas yang sering terlepas pandang dalam kebanyakan akademi dan kelab bola sepak peringkat akar umbi.
“Ramai pasukan memberi tumpuan kepada pemain outfield, tetapi penjaga gol juga memerlukan latihan yang sistematik.
“Mereka adalah benteng terakhir pasukan dan boleh menjadi perbezaan antara kemenangan atau kekalahan. Program ini direka untuk membantu mereka menguasai teknik yang betul dan bersedia untuk cabaran yang lebih besar.
“Pengambilan pelatih baru bagi Kelab RYFC juga dibuka, buat masa ini kami membuka pendaftaran pelatih baru bermula dari umur 7 tahun sehingga 15 tahun. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya (Coach Keiru) ataupun Coach Lady,” katanya.
Program ini terbuka kepada semua penjaga gol muda, ibu bapa yang ingin melihat anak mereka berkembang dalam bola sepak, serta kelab atau akademi yang ingin meningkatkan kualiti penjaga gol dalam pasukan mereka.
Yuran penyertaan adalah RM100.00 sahaja, termasuk sijil penyertaan sebagai pengiktirafan rasmi kepada peserta. Makan dan minum tidak disediakan, jadi peserta dinasihatkan untuk membawa bekalan sendiri sepanjang sesi latihan.
Pendaftaran kini dibuka dan tempat adalah terhad. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk belajar terus daripada seorang legenda bola sepak Sabah.
Jika anda seorang penjaga gol yang ingin meningkatkan kemahiran atau seorang jurulatih yang mahu memberikan latihan khas kepada pemain anda, inilah peluang terbaik untuk mengambil langkah pertama ke arah kejayaan.
Untuk pertanyaan mahupun pendaftaran boleh menghubungi pengelola iaitu Kelab RYFC di talian 011-25110248 atau 016- 8361863.



