KOTA KINABALU: Prestasi pengurusan DP World Sabah di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) adalah memuaskan, namun syarikat itu masih berdepan cabaran operasi berpunca daripada kekangan kapasiti pelabuhan dan kelewatan projek pembesaran infrastruktur.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata usaha sama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan DP World Sabah bertujuan meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta memposisikan SBCP sebagai hab pemindahan kapal (transhipment) dan hab perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN.
Beliau berkata projek pembesaran SBCP yang sepatutnya siap pada Februari 2025 mengalami kelewatan dengan lanjutan masa (EOT) sebanyak lima kali, sedangkan DP World Sabah mengambil alih pengurusan pelabuhan itu pada September 2024.
“Keadaan ini menyebabkan adalah pra-matang untuk menjalankan kajian prestasi atau audit rasmi terhadap pengurusan DP World Sabah bagi menilai pencapaian matlamat menjadikan SBCP sebagai hab transhipment kerana projek pembesaran masih belum siap dan kapasiti pelabuhan masih terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Ewon berkata Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bagaimanapun terus memantau prestasi semua operator konsesi pelabuhan termasuk DP World Sabah berdasarkan beberapa indikator utama seperti purata masa menunggu kapal berlabuh (Average Berth Waiting Time – ABWT), tempoh penyimpanan kontena (container dwell time) dan kadar penggunaan kawasan penyimpanan (yard utilisation).
Beliau berkata purata masa menunggu kapal berjaya dikurangkan dengan ketara daripada 66 jam bagi tempoh Disember 2023 hingga September 2024 kepada hanya 20.24 jam bagi tempoh Oktober 2024 hingga Julai 2025 hasil peningkatan produktiviti serta penggunaan empat kren dermaga (quay crane) secara serentak.
Bagaimanapun, katanya, tempoh menunggu kapal kembali meningkat kebelakangan ini berikutan kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena yang mencecah 101 peratus susulan lonjakan jumlah kendalian kontena, pengurangan ruang penyimpanan sebanyak 10 peratus akibat kerja pembesaran pelabuhan serta kesesakan di pintu masuk terminal.
Dari segi penggunaan kawasan penyimpanan, Ewon berkata kapasiti container yard berjaya ditingkatkan sebanyak 41 peratus daripada 6,800 unit bersamaan dua puluh kaki (TEUs) kepada 9,574 TEUs melalui penyusunan semula kawasan dan kaedah penimbunan kontena yang lebih tinggi.
Namun, katanya, pertumbuhan ekonomi Sabah dan peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan kadar penggunaan kawasan penyimpanan secara purata melebihi 70 peratus dan boleh mencecah 100 peratus ketika musim puncak.
Sehubungan itu, kementerian sedang melaksanakan beberapa langkah segera termasuk memanfaatkan kawasan Roll-on/Roll-off (RORO) sebagai tempat penyimpanan kontena kosong, menyiapkan kawasan container yard baharu seluas empat ekar menjelang Disember 2026 serta mengambil alih tanah seluas 14 ekar berhampiran SBCP bagi dijadikan kawasan penyimpanan sementara.
Mengenai tempoh penyimpanan kontena, beliau berkata purata container dwell time meningkat daripada 4.0 hari sebelum pengambilalihan kepada 5.1 hari sehingga Jun 2026 berikutan peningkatan jumlah kendalian kontena, kesesakan di pintu masuk terminal dan penggunaan maksimum kawasan penyimpanan.
Menurutnya, faktor lain seperti proses pelepasan kontena oleh pengimport, ejen penghantaran serta agensi penguat kuasa turut mempengaruhi tempoh penyimpanan dan berada di luar kawalan operator pelabuhan.
Ewon berkata DP World Sabah kini melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk mengoptimumkan perancangan operasi, memperkukuh koordinasi dengan pelanggan dan agensi berkaitan serta meningkatkan kecekapan pengendalian kontena bagi mengurangkan tempoh penyimpanan secara berperingkat.
Beliau berkata kementerian juga sedang melaksanakan 10 pelan tindakan interim bagi mengurangkan kesesakan sementara di SBCP dan memastikan kelancaran rantaian logistik serta pertumbuhan ekonomi Sabah terus terpelihara.



