GAMBAR – Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Pusat Hiburan Labuan, Surjit (tiga dari kanan) bersama beberapa ahli jawatankuasa lain yang bersama dalam sidang media, kelmarin
LABUAN: Sekurang-kurangnya 29 premis pusat hiburan, bar sukan termasuk pusat karaoke bakal gulung tikar sekiranya kerajaan masih belum membenarkan pusat berkenaan beroperasi.
Timbalan Pengerusi Pemilik Pusat Hiburan Labuan, Surjit Singh berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, sekurang-kurangnya 29 pemilik pusat hiburan yang terdapat disini mengalami kerugian sekitar RM6 juta dan jumlah itu akan terus meningkat sekiranya kerajaan masih lagi tidak membenarkan untuk beroperasi.
“Kami tidak menolak kemungkinan perniagaan kami terpaksa ditutup selewat-lewatnya pada bulan Oktober ini, kerana kami tidak mampu lagi untuk membayar gaji kakitangan berterusan termasuk sewa bulanan premis, bil elektrik dan kos yang lain” katanya kepada media di sini, kelmarin.
Beliau berkata, bagi mengelakkan premis perniagaan kami terus menggalami kerugian atau terpaksa di tutup, kami telah memohon bantuan daripada Persatuan Dewan-Dewan Perniagaan di Labuan antaranya Persatuan Dewan Perniagaan Tionghua Labuan dan Dewan Perniagaan dan Perusahan India Labuan untuk menyampaikan masalah perniagaan kami melalui satu memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kami berharap melalui memorandum yang akan diserahkan kepada kerajaan itu akan dapat diberi pertimbangan agar pusat hiburan di Labuan dapat beroperasi semula seperti perniagaan lain mengikut SOP yang diarahkan” katanya.
Menurut Surjit, sejak PKP terdapat tiga buah pusat hiburan telahpun ditutup kerana tidak lagi mampu bertahan dan dijankga beberapa buah lagi akan turut menutup operasi mereka akibat kerugian yang berterusan.
Sementara itu, Bendahari persatuan itu, Chris Teo turut meluahkan perkara yang sama apabila mereka (majikan) terpkasa terus membayar gaji pekerja sejak PKP dilksanakan Mac lalu hingga ke hari ini.
“Kami terus membayar gaji termasuk caruman dana simpanan pekerja (KWSP) dan Perkeso yang sesuai dengan arahan kerajaan untuk tidak memberhentikan pekerja, dan kami masih juga terpkasa membayar sewa premis tanpa sebarang pendapatan.
“Situasi akan bertambah buruk (jika penangguhan perniagaan hiburan berlanjutan) setelah moratorium berakhir pada bulan Oktober. Kami, sebagai penyewa bangunan akan menghadapi masalah kewangan kerana kami harus meneruskan pembayaran pinjaman perniagaan, “katanya.
Manakala Setiausaha persatuan Wong Kun Weng berkata, perniagaan hiburan wajar diberi kebenaran beroperasi semula seperti juga pusat refleksologi yang telah kembali beroperasi pada 1 Julai.
“Perniagaan refleksologi melibatkan sentuhan fizikal, sedangkan operasi bisnis hiburan sebaliknya … kami meminta agar kerajaan mempertimbangkan penderitaan kami, kami mematuhi arahan kerajaan untuk mengekalkan staf, tetapi pada masa yang sama perniagaan kami tidak dibenarkan beroperasi semula,”katanya.
Seorang lagi ahli persatuan itu, Edward Liang turut menjelaskan penutupan penutupan perniagaan hiburan secara tidak langsung telah memberi kesan buruk kepada industri pelancongan tempatan.
“Kehidupan malam di Labuan adalah salah satu yang termasuk dalam pakej pelancongan Labuan, tetapi sejak sekatan pergerakan dikenakan, pendapatan kami adalah sifar. Kami tidak dapat menafikan kenyataan bahawa sektor ekonomi Labuan sedang merundun teruk ” katanya. –BorneoDailyBulletin