KEMPEN….. Abdul Hakim (tengah) bersama Mohammed (kanan) dan Ustaz Mohd Radzaleih simbolik pelancaran Kempen YEZ 2021 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
LABUAN: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tahun ini menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM800 juta dengan 408,000 pembayar zakat.
Demikian kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Haji Abdul Hakim Amir Osman dalam satu sidang media sempena Pelancaran Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021 dan Program Komuniti Cakna Labuan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Hotel Tiara Labuan, pada Jumaat.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021, PPZ- MAIWP telah pun berjaya mengutip zakat sebanyak RM577 juta melibatkan 348,285 pembayar.
“Kami hanya memerlukan RM223 juta untuk mencapai sasaran tahun ini dan kami yakin sasaran RM800 juta itu akan dapat dicapai selepas melihat sambutan pembayar zakat sejak Kempen YEZ dilancarkan pada 15 November lalu” katanya.
BAKUL REZEKI…. Abdul Hakim (tengah) bersama penyumbang Wakalah dan penerima Bakul Rezeki sempena Kempen YEZ 2021 di hotel Tiara Labuan, pada Jumaat.
Abdul Hakim berkata, bagi PPZ Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini menyasarkan kutipan sebanyak RM9.3 juta dan setakat 31 Oktober lalu sebanyak RM 3.4 juta telahpun berjaya dikutip.
“Saya berharap tidak ada alasan lagi untuk tidak menunaikan kewajipan berzakat kerana InsyaAllah kami di PPZ-MAIWP telah berusaha menyediakan pelbagai kemudahan bayaran zakat bersesuaian dengan keperluan setiap individu.
“Selain itu kami juga menawarkan 1,200 hadiah kepada pembayar zakat yang bertuah” katanya.
Beliau berkata Kempen YEZ 2021 yang bertemakan ‘Berdiri Bersama’ bertujuan untuk mengajak semua khususnya para pembayar untuk bersama kita menggalas tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan seterusnya bersama kita bangkit dalam mengharungi situasi sukar COVID-19 ini.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen ini merupakan seruan dan galakan kepada para pembayar untuk menyegerakan bayaran zakat mereka sebelum 31 Disember 2021 bagi menikmati rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2021 disamping pelbagai aktiviti dilaksana sepanjang kempen” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Bakul Rezeki yang terdiri daripada barangan keperluan asas bernilai RM100 kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Anak Muda Labuan (Pemula), Persatuan Ibu Tunggal Labuan, Persatuan Hal Ehwal Wanita Labuan (HAWA), Jabatan Pendidikan Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML).
Setiap pertubuhan menerima sebanyak 500 bakul rezeki untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk mereka yang terkesan akibat pandemik COVID 19.
Hadir sama pada majlis itu,Pengurus Besar Khidmat Kaunter & Wakalah, PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan dan Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan, Ustaz Mohd Radzaleih Matusin.