ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tumpaskan Kumpulan Pecah Rumah, Lima Lelaki Ditahan

DITAHAN…. Lima suspek yang disyaki kes pecah rumah berjaya ditahan polis



PENAMPANG: Polis Daerah Penampang berjaya menumpaskan satu kumpulan disyaki terlibat dalam kes pecah rumah selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah dalam satu serbuan di Putatan, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan hasil maklumat awam susulan kejadian pecah rumah di sebuah kediaman tidak berpenghuni yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di daerah ini.


Menurutnya, kejadian berkenaan mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000 dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


“Bertindak atas risikan dan maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang telah melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah di daerah Putatan dan berjaya menahan kesemua suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan dengan kes serta disyaki hasil curi.


Hasil semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah, manakala saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah.


Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN