DISITA…. Ahmad bersama anggota trafik memeriksa kereta yang disita atas kesalahan ubahsuai enjin sehingga mengeluarkan bunyi bising.
LABUAN: Polis di sini menyita tiga buah kenderaan atas kesalahan ubahsuai ekzos yang disambung terus ke enjin menyebabkan bunyi bising.
Ketiga-tiga kenderaan berkenaan ditahan kira-kira jam 10.45 malam dalam satu Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafif IPD Labuan pada 5 September lepas.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, ketiga-tiga kenderaan yang membabitkan dua buah jenis Honda Civic dan sebuah jenis Proton Satria Neo disita dibawah Seksyen 64 Akta JPJ 1987 atas kesalahan ubahsuai ekzos serta Seksyen 64(1) kerana disyaki melanggar terma lesen bagi kenderaan motor” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Superitendan Ahmad Jawila
“Ketiga-tiga pemandu yang berusia 22 hingga 42 telah dikeluarkan saman atas kesalahan ubahsuai ekzos di bawah Kaedah 103 LN170/59, manakala pemandu Proton Satria Neo turut dikeluarkan saman atas kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta JPJ 1987 kerana tiada memiliki lesen memandu,”katanya.
Ahmad berkata, terdahulu sebelum itu kenderaan berkenaan telah dirujuk dengan pihak JPJ untuk ujian dan pemeriksaan dan mengesahkan ekzos tersebut telah diubahsuai dengan membuat sambungan terus ke enjin.
Berikutan dengan kesalahan itu juga, ketiga-tiga pemandu diarah untuk mengembalikan ekzos asal dan notis larangan penggunaan kenderaan telah dikeleluarkan mengikut Seksyen 59 Akta JPJ 1987” katanya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan ketiga-tiga pemandu boleh didenda tidak lebih RM2000 atau penjara tidak melebih enam bulan.
“Manakala bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu boleh dikenakan denda RM300 hingga tidak lebih RM2000 atau penjara atau kedua duanya sekali” katanya.
Sementara itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengelakkan tindakan saman.