DSP Simiun bersama Pegawai dan Anggota menjalankan rondaan cegah jenayah di permis perniagaan sekitar Kg.Bongkud, Ranau.
RANAU: Polis Daerah Ranau akan terus meningkatkan rondaan cegah jenayah dikawasan perkampungan, taman-taman perumahan, kawasan pelancongan dan permis perniagaan bagi mempastikan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat terus terjamin.
Menegaskan perkara itu,Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, pihaknya akan mempastikan tugas rondaan cegah jenayah kerap dijalankan untuk mewujudkan komuniti selamat dan mengekang cubaan melakukan jenayah.
“Keutamaan pihak kami adalah untuk mempastikan masyarakat daerah ini sentiasa berasa selamat dan para pengunjung ke destinasi pelancongan turut selesa berada di sini. Rondaan seumpama ini akan dipertingkatkan dari masa ke semasa”. Tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam tugas rondaan cegah jenayah bersama sekumpulan pegawai dan anggota disekitar kawasan Kampung Bongkud dekat sini pada malam Isnin.
Rondaan sama turut dijalankan beberapa kumpulan pegawai dan anggota lain di tiga buah perkampungan iaitu Kg.Lembah Permai, Kg. Dumpiring dan Kg.Lohan Ulu.

Nasihat Keselamatan….ASP Helvin Ribus bersama anggota IPD Ranau mengadakan pertemuan singkat dengan pemimpin kampung dan penduduk di Kg.Lohan Ulu.
Menurutnya, selain rondaan cegah jenayah, pihaknya juga akan mengambil kesempatan untuk bertemu dengan orang awam dan pemimpin kampung untuk memberikan nasihat keselamatan bagi mencegah berlakunya sebarang kejadian tidak di ingini khasnya pada musim cuti sekolah dan perayaan krismas ini.
“Kami turut mengadakan pertemuan singkat dengan beberapa penduduk serta pemimpin kampung untuk memberi pesanan mengenai keselamatan khasnya ketika cuti sekolah dan musim perayaan akan datang”. Jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi penduduk yang bakal pulang ke kampung untuk meraikan perayaan krismas, mereka dinasihatkan agar mempastikan keselamatan kediaman sentiasa terjamin sebelum meninggalkan rumah.
Katanya, penduduk boleh tampil ke IPD Ranau untuk memaklumkan mengenai percutian mereka dan kedudukan rumah agar pihaknya boleh membuat rondaan berkala di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan agar tidak ada sebarang pengaruh alkohol ketika memandu kenderaan kerana pihaknya akan mengambil tindakan tegas kesalahan berkenaan.