Supt. Mohd Hamizi Halim
LABUAN: Polis di sini membuka dua kertas siasatan terhadap laporan wanita ditampar oleh seorang lelaki dipercayai penjawat awam dalam satu kejadian di Jalan Tun Mustapha pada 21 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Mohd Hamizi Halim (gambar) berkata, dua kertas siasatan telah dibuka masing masing dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Terdahulu sebelum itu, beliau berkata seorang pemandu kereta wanita berumur 28 tahun telah membuat laporan polis pada 22 Mac 2025 mendakwa telah ditampar oleh seorang lelaki di tepi jalan yang telah tular di media Sosial Facebook pada 21 Mac 2025.
“Kejadian berpunca daripada suspek disyaki telah memandu kereta secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain menyebabkan wanita tersebut terpaksa menekan break secara mengejut dan selepas kejadian itu berlaku insiden pertengkaran antara mereka sehingga suspek bertindak menampar pipi kiri wanita tersebut”, katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.
Selain Wanita berkenaan, suspek juga turut membuat laporan polis dan kedua dua kes telah dirujuk ke bahagian siasatan, namun tindakan penyelesaian tidak memuaskan hati pihak mangsa.
Menurut Hamizi, Wanita tersebut turut mendakwa belum menerima maklum balas dari pihak polis mengenai kejadian itu dan tindakan yang telah diambil bagi membela nasib beliau.
Sementara itu pihak polis meminta saksi yang menyaksikan kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.
Hamizi turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati hati di jalan raya dan sentiasa bersabar serta memandu dengan berhemah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.



