Supt. Ahmad Jawila – Gambar
Oleh: JAINUDIN DJIMIN
LABUAN : Seramai 16 individu masing masing berumur antara 18 hingga 48 tahun dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam operasi penguatkuasaan SOP PKPB yang dijalankan oleh anggota polis di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata kompaun yang dikeluarkan terhadap 16 individu itu keseluruhannya berjumlah RM32,000 melibatkan pelbagai kesalahan.
“Pemeriksaan yang dibuat di lokasi berbeza beza di sekitar Labuan itu mendapati pelbagai kesalahan telah dilakukan oleh individu berkenaan antaranya tidak mempunyai permit merentas negeri, beriadah di tepi pantai, menganjurkan sambutan hari jadi tanpa penjarakan sosial dan tidak mengimbas QR Kod My Sejahtera” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kesalahan kesalahan yang dilakukan dan menasihatkan agar warga Labuan sentiasa peka dan mematuhi SOP PKPB pada ketika ini.
“Tindakan tegas perlu diambil sebagai usaha membantu Labuan dan negara khasnya dalam melandaikan lengkuk COVID 19” katanya.
Beliau selanjutnya menjelaskan, sejak pelaksanaan PKPB pada 12 Mei lalu, pihak polis masih melaksanakan pendekatan berupa nasihat dan teguran namun dilihat kini ramai yang tidak mengendahkan SOP yang telah di keluarkan.
Katanya, sebanyak 15 pasukan PDRM dengan kerjasama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditugaskan 24 jam untuk memantau di semua kawasan bagi memastikan tidak ada pihak yang melanggar arahan PKPB.