ADVERTISEMENTspot_img

Bengkel Wikikamus Perkasa Pendigitalan Bahasa Dusun Ranau, Lebihi Sasaran Pemasukan Perkataan

Gambar hadapan: Dari kiri, Sitti Asmah Federico (Wikimedian), Naiematus Sakinah binti Wahid (Pengurus Pusat Tuisyen Dominasi Minda), Puan Sitiamah Hj. Sahat (Pengurus Ranau Ethnic Learning Centre) Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah (Pengerusi Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah), Mohd Taufik Rosman (Pengerusi Wikimedia Malaysia), Muhammad Farazzi Nazaruddeen (Wikimedian) serta para peserta Bengkel Wikikamus Dusun Ranau 2026.

RANAU: Buat julung kalinya, Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah dengan kerjasama Wikimedia Malaysia menganjurkan Bengkel Wikikamus Dusun Ranau bagi memperkasa usaha pemeliharaan dan pendigitalan dialek Dusun Ranau melalui platform dalam talian.

Program yang berlangsung di Ranau Ethnic Learning Centre, Kampung Lingkudau di sini hari ini disertai 25 peserta terdiri daripada penggiat bahasa, pendidik, pelajar dan ibu bapa dari komuniti setempat.

Bengkel berkenaan memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai kaedah memasukkan perkataan, makna serta sebutan ke dalam platform Wikikamus, selain mempelajari teknik asas penyuntingan dan etika penyumbangan kandungan digital.

Sepanjang sesi, peserta turut berkongsi serta membincangkan pengetahuan kosa kata sedia ada bagi memperkaya kandungan bahasa Dusun Ranau. Hasilnya, sebanyak 777 perkataan baharu berjaya dimasukkan ke dalam pangkalan data Wikikamus, melebihi sasaran awal sebanyak 500 perkataan.

Para peserta bengkel khusyuk memasukkan perkataan ke dalam laman Wikikamus Dusun Ranau

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah, Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah berkata penganjuran bengkel itu merupakan langkah penting dalam memastikan bahasa Dusun Ranau terus relevan dan berkembang seiring kemajuan teknologi.

“Melalui platform seperti Wikikamus, bahasa etnik bukan sahaja dapat dipelihara, malah berpotensi diakses oleh masyarakat global,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dengan penyertaan lebih meluas pada masa akan datang, sekali gus melahirkan lebih ramai penyumbang aktif dalam usaha pendigitalan bahasa di daerah Ranau.

“Inisiatif ini juga diharap menjadi pemangkin kepada pemeliharaan bahasa etnik lain di Sabah agar terus kekal dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN