Dato’ Seri Mustapha (tiga kiri), Profesor Dr. Shamsul Bahari (empat kiri), Profesor Dr. Suhaiza Hanim (dua kiri), Dr Ricky Chia (tiga kanan) dan Dr Nur Shahirah (dua kanan) bersama peserta dan pelajar UMSKAL.
LABUAN: Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menganjurkan Program Basmi Miskin Tegar: Pengukuran Kemiskinan Multidimensi (Multidimensional Poverty Index – MPI) Labuan pada Sabtu lalu.
Program berkenaan bermula sejak September 2023 hingga Disember 2025 yang membabitkan 64 peserta yang menerima bantuan peralatan perniagaan dan telah menjalankan aktiviti peningkatan pendapatan.
Peserta menjalani kursus pembangunan platform perniagaan online dan kursus kemahiran spesifik (modal insan).
Antara agensi yang terbabit termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Perbadanan Labuan, Majlis Keselamatan Negara, Institut Latihan Perindustrian Labuan, Labuan Training Centre, Giatmara, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kesihatan.
UMSKAL sebagai konsultan pelaksana program/ kursus latihan pembangunan platform perniagaan online, menjalankan profiling peserta dan memantau perjalanan program.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah UAC Universiti Malaya, Datin Sri Profesor Dr. Suhaiza Hanim Dato’ Mohamad Zailani di Dewan Kuliah Pusat 1 (DKP1), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Program itu bertujuan untuk menilai keberkesanan dan kemampanan impak Inisiatif Basmi Miskin Tegar (IBMT) melalui pendekatan Multidimensional Poverty Index (MPI).
Di samping itu, program ini turut mengumpul data kesejahteraan peserta bagi menyokong pembangunan sistem MyMPI+ yang dibangunkan oleh UAC.
Inisiatif pembasmian kemiskinan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengukuran kemiskinan secara multidimensi dalam merangka dasar pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.
Usaha penyelidikan dan jaringan kerjasama strategik antara UAC dan UMSKAL dalam menyokong agenda pembasmian kemiskinan dan pembangunan masyarakat secara mampan.
Turut diadakan taklimat oleh Dr. Sayed Mohammad Reza Yamani Sayed Umar: Assessing Hidden Household Deprivation in Labuan: A Multidimensional Poverty Perspective, Dr. Suzillah Sidek: Miskin Tegar dalam Kalangan Remaja dan Samsulbahri Mohd Nasir: Keusahawanan dalam Kalangan Miskin Tegar.
Manakala majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Penasihat UAC Universiti Malaya, Dato’ Seri Mustapha Mohamad.
Beliau berkata kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai inisiatif termasuk jualan rahmah dan subsidi yang meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan rakyat yang memerlukan.
Beliau berharap peserta program akan berusaha sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan tidak bergantung selamanya dengan bantuan kerajaan.
Turut hadir Pengarah UMSKAL, Professor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr Ricky Chia Chee Jiun, Ketua Program (Ekonomi Kewangan)/ Penyelaras BMT Multidimensi Kemiskinan Labuan, Dr Nur Shahirah Azman dan Pengarah Program, Muhammad Najib Chong.



