Antara penerima bantuan SYUKUR yang disampaikan Hajiji.
TUARAN : Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM339.16 juta bagi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun ini sebagai instrumen utama di bawah agenda pembasmian kemiskinan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata bantuan SYUKUR telah distruktur semula tahun ini kepada kadar RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan.
Bantuan berkenaan adalah sebagai pelengkap kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan-bantuan kewangan lain yang sedia ada.
“Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 orang pada tahun lalu kepada 140,000 penerima tahun ini.
“Sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Outreach SYUKUR Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini, pada Selasa.
Hajiji menambah, amaun pembayaran SYUKUR dibayar secara berfasa dan setiap fasa dibayar secara sekali gus (lump-sum) bagi tempoh tiga bulan sebanyak RM600 yang akan dikreditkan ke akaun mereka.
Beliau berkata program SYUKUR telah mula disalurkan kepada penerima yang layak menerusi pembayaran Fasa 1 pada 11 Mac 2026, manakala pembayaran Fasa 2 secara dalam talian mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 23 Mei 2026.
“Saya amat berbesar hati memaklumkan pembayaran SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama secara tunai dibuka bermula 18 sehingga 23 Jun 2026 kepada penerima yang layak di seluruh negeri melibatkan seramai 17,848 penerima.
“Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 sekali gus bagi tempoh April hingga Jun 2026,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada angka yang dikunci pada Januari 2025 yang melibatkan seramai 10,825 KIR.
Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang dikunci pada Januari tahun ini telah berjaya dikurangkan 100 peratus hasil pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata kejayaan ini menunjukkan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih, serta intervensi bantuan secara bersasar telah membawa perubahan yang signifikan kepada golongan sasar.
“Pencapaian ini bukanlah noktah kepada perjuangan kita. Kerajaan negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 KIR masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 KIR pada Januari 2026, iaitu penurunan 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” ujarnya.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai sebanyak RM600 kepada 50 penerima Program SYUKUR.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai./PENERANGAN



