Hannah ketika ditemui media Labuan selepas majlus Nur Ramadan Bersama Media Labuan baru baru ini.
LABUAN: Kerajaan MADANI melalui Perbadanan Labuan (PL) mengambil langkah proaktif dengan memberikan diskaun sebanyak 50 peratus kadar sewa premid kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata Perbadanan Labuan telah pun melaksanakan pemberian diskaun itu untuk premis niaga di Pasar Sentral Labuan, Medan Selera, Anjung Selera di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Dianggarkan lebih 500 peniaga kecil di sekitar bandar Labuan akan menikmati diskaun ini yang bermula sejak Januari 2026.
Pengurangan kadar sewa itu susulan peningkatan kos sara hidup serta tekanan ekonomi global ketika ini.
Beliau berkata melalui pelaksanaan diskaun tersebut, Perbadanan Labuan menanggung implikasi kewangan hampir RM450,000 setahun.
Bagaimanapun katanya, peniaga yang ingin menikmati insentif tersebut perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menerima pengurangan kadar sewa 50 peratus.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan nyata kepada para peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan PL untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada warga Labuan”, katanya ketika ditemui media selepas Majlis Nur Ramadan Bersama Media di sini baru baru ini.



