26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PKR, PH Plus bakal terkubur di Sabah

PETALING JAYA: Bukan sahaja PKR akan mati di Sabah, malah Pakatan Harapan (PH) Plus bakal terkubur kerana tindakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin bekerjasama dengan UMNO.

Bercakap kepada Utusan Online , Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini kerana pengkhianatan tersebut sudah pasti tidak boleh diterima ahlinya seperti mana ahli UMNO yang tidak boleh menerima sebarang bentuk kerjasama dengan Anwar.

“Terpulang kepada akar umbi PKR (Parti Keadilan Rakyat) kerana realitinya juga Warisan sudah tidak berada dalam PH Plus. Kita bukan lagi PH Plus sejak Anwar secara terbuka ingin bekerjasama dengan Kluster mahkamah UMNO.

“Ini kerana jika benar prinsip yang mereka perjuangkan selama ini menjadi pegangan dan bukan retorik semata-mata, maka saya tidak fikir walaupun ahli akar umbi PKR setuju dengan langkah Anwar untuk bekerjasama dengan kluster mahkamah sebagaimana ramai akar umbi UMNO juga menolak untuk bekerjasama dengan Anwar,” katanya. 

Terdahulu, perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Wendy Agung Baruh menggesa supaya PKR tidak mengemis bantuan pihak lain termasuk daripada Tun Mahathir Mohamad dan Warisan.

Perkara itu mengundang ketidakpuasan hati Mohd Azis sendiri dengan menegaskan, Warisan tiada masalah jika PKR mahu bergerak solo semasa PRU nanti memandangkan pengaruh parti tersebut tidak sehebat mana walaupun mereka lebih awal bertapak di negeri itu sebelum penubuhan Warisan.

“Jika AMK merasakan mereka ingin bergerak sendiri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk di Sabah, kita tidak menghalang dan Warisan pun tidak terhegeh-hegeh untuk bergantung harap dengan PKR.

“Biar keputusan PRU lepas menjadi bukti, sebelum Warisan lahir di Sabah, PKR merupakan parti pembangkang utama di Sabah dan semasa zaman kegemilangan dan kekuatan PKR ketika slogan reformasi bergema seluruh negara masa itu, kalau tidak silap jumlah kerusi terbanyak pernah dimenangi PKR (di Sabah) hanya lapan,” katanya lagi.

“PKR sudah makin pupus di Sabah dan jika mereka memilih untuk berkonfrontasi dengan parti tempatan, saya yakin pilihan raya akan datang, PKR juga akan pupus di negeri di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN