Oleh: Dr. Jurry Foo
Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
https://web.facebook.com/pkppumskk
PROSES pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak harus lumpuh meskipun perjuangan memerangi penularan COVID-19 masih berterusan.
Menyedari hakikat bahawa pendidikan adalah adalah aset kelestarian masyarakat Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (PKPPUMS) memperkasakan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) pusat tersebut dengan mengambil kira pencapaian pusat, refleksi mahasiswa, cadangan jurulatih dan sumbang saran pelbagai pihak termasuk pihak pengurusan universiti serta mengikut gaya PdP terkini sesuai generasi serta kapasiti PKPP sendiri.
Penambahbaikan sistem PdP ini diyakini dapat memberikan impak yang lebih besar kepada pembentukan mahasiswa holistik yang berdaya saing sesuai dengan matlamat asal penawaran kursus kokurikulum berkredit. Selaras dengan hasrat tersebut, usaha PKPP antara lainnya ialah:
1) Mengemaskini dokumen PdP termasuk rancangan pengajaran dan kaedah penilaian.
2) Menambahbaik kaedah PdP, antaranya memperkenalkan Karnival Inovasi dan sistem ‘peer’.
3) Memperkasakan kompetensi jurulatih agar dapat mengendalikan kursus Kokurikulum berkredit dengan lebih berkesan. Ini termasuk sistem sokongan jurulatih, galakan pensyarah bekerja sebagai satu kumpulan dan bimbingan berterusan.
4) Galakan menulis rencana akademik dalam kalangan jurulatih dan mahasiswa untuk diterbitkan dalam Borneo Daily Buletin sebagai usaha memupuk budaya perkongsian ilmu yang memberi manfaat kapada masyarakat.
PKPP juga merancang untuk memberikan pendedahan kepada jurulatih melalui bengkel dan kursus berkaitan pengendalian PdP yang akan dilaksanakan sepanjang semester. Pada semester lepas, PKPP berjaya mencapai 100% dalam pelaksanaan pembelajaran teradun yang dikendalikan menggunakan SmartV3 UMS. Oleh itu PKPP yakin jurulatih akan dapat terus meningkatkan prestasi secara berterusan.
Pada semester 1 sesi 2021/ 2022 PKPPUMS menawarkan sebanyak 52 kelas melibatkan kursus komponen sukan dan rekreasi, komponen kebudayaan dan kesenian, komponen kepimpinan dan kemasyarakatan, komponen bisnes, agrotek dan teknologi serta komponen beruniform dan badan penyelamat. Mahasiswa yang tidak dapat mengikuti kursus kokurikulum berkredit pada semester ini akan mendaftar pada semester seterusnya.