Gambar: Yassin ibrahim
RANAU: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Ranau, menafikan seramai 92 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari daerah ini tidak diberikan makanan ketika tiba dan berada di dua pusat kuarantin di sini semalam.
Pengerusi PKOB yang juga Pegawai Daerah Ranau, Yassin Ibrahim berkata, dakwaan seorang individu menerusi hantaran di Laman Facebook mengatakan sejumlah pelajar yang menjalani kuarantin di Biro Tata Negara (BTN) Kundasang kelaparan kerana tidak diberi makanan adalah tidak benar.
Menurut Yassin, sebaik rombongan pelajar tiba di BTN lebih kurang jam 11 malam pada Isnin, kesemua mereka telah menjalani proses saringan kesihatan seterusnya mendaftar masuk untuk dikuarantin.

TIBA..sebahagian pelajar UPSI dari daerah ini tiba di BTN disambut petugas PKOB terdiri Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
“Proses pendaftaran termasuk serahan linen dan sesi taklimat telah mengambil masa lebih satu jam. Semua prosedur selasai kira-kira jam12.30 malam.
“Dalam masa yang sama, semua pelajar telah diberikan makanan kering seperti mee segera, biskut, minuman 3 in1 dan air minuman yang diusahakan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Ranau pada malam itu.
“Manakala semasa Sahur sekitar jam 4 pagi tadi, sekali lagi kesemua pelajar termasuk yang bukan beragama islam telah diberi makan berupa Nasi dengan lauk Ayam beserta sayur dan minuman panas,.
“Perkara yang sama turut dilakukan kepada 10 lagi pelajar UPSI yang dikuarantin di Linawa Hostel, Kompleks Sukan Ranau ” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan PKOB hari ini.

Sebahagian pelajar ketika sesi taklimat, saringan dan daftar masuk di pusat kuarantin pada malam Isnin.
Justeru kata Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), sepatutnya tidak timbul isu pelajar tidak diberi makan selepas kesemuanya diterima masuk di dua pusat kuarantin di sini semalam.
Menurutnya lagi , hantaran dimuat naik individu bernama Rosliah Kiting dalam facebook miliknya yang mendakwa kesemua pelajar hanya dibekalkan air minuman dalam botol dan roti bun sepanjang tempoh 27 jam perjalanan bermula dari kediaman pelajar di UPSI hingga tiba di BTN adalah diluar bidang tugas PKOB Ranau.
“Sepatutnya, kebajikan mereka masih di bawah tanggungjawab pihak yang menguruskan perjalanan pelajar-pelajar berkenaan sebelum diserahkan kepada PKOB Ranau, selain memaklumkan lebih awal kepada PKOB daerah ini berkenaan cadangan menempatkan mereka untuk tujuan dikuarantin agar makan minum yang sepatutnya dapat disediakan ” kata Yassin.

Sebahagian lagi pelajar UPSI yang tiba di Linawa Hostel, Kompleks Sukan Ranau pada malam Isnin untuk dikuarantin
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, mana-mana individu atau NGO yang ingin memberi sumbangan untuk penghuni pusat kuarantin di sini boleh menyalurkannya melalui PKOB.
Bagaimanapun jelasnya, tiada halangan bagi ibu bapa atau ahli keluarga dan saudara mara yang ingin menghantar barang keperluan kepada pelajar atau penghuni. Mereka boleh berurusan terus kepada petugas di pusat kuarantin. TAMAT



