31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PIBG main peranan penting bantu tingkat pencapaian akademik anak-anak di sekolah: Raimie

Raime (duduk tengah) diapit oleh Shamsudin (kiri) dan Mohamad Faisal (kanan) bersama dengan barisan AJK PIBG.

TENOM: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam usaha membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak di sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Raime Unggi berkata, PIBG adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah.

Katanya fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif dan berwibawa.

“PIBG yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kali ke 29 Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenom tahun 2024 di dewan sekolah itu pada Sabtu.

Katanya, permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.

Menurut Raime yang juga Ketua Umno Bahagian Tenom, PIBG adalah tulang belakang di sekolah.

Disamping itu katanya, PIBG juga mempunyai peranan ‘saling lengkap melengkapi’ terhadap fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Tambahnya, Ia bukan sahaja sebagai entiti yang penting kepada institusi sekolah malah ia menjadi wadah penghubung antara pihak ibu bapa dengan sekolah demi kemajuan pendidikan bersama.

Pada masa sama Raime merakamkan penghargaan kepada semua barisan AJK PIBG yang dipilih.

PIBG SK Pekan Tenom bagi sesi 2024 – 2026 dibarisi oleh Mohamad Faisal bin Bakar sebagai Yang Dipertua (YDP), diikuti oleh Masni binti Ahmad (Timbalan YDP), Suline @ Veronica Jamikir (Setiausaha) dan Mohd Azrin bin Malek (Bendahari).

AJKnya terdiri daripada Micheal Rajimin, Maswati Naming, Mohd Taslim bin Tahir, Khairul, Emmanuel Francell Francis, Mira Erika Juarih, Rukiah binti Joseph, Sharul Azizi bin Abdul Aziz dan Mariah binti Moksin.

Sementara itu Guru Besar sekolah itu Shamsudin Akil berharap kerjasama jentera PIBG dan pengurusan sekolah dapat merancang program-program yang yang bermanfaat kepada anak-anak di sekolah.

Katanya, permuafakatan antara PIBG dan pihak pengurusan sekolah adalah kunci dalam perancangan dan peningkatan akademik pelajar.

Dalam pada itu YDP PIBG SK Pekan Tenom Mohamad Faisal Bin Bakar berharap agar barisan kepimpinan PIBG yang dipilih bersama-sama menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam membantu pihak sekolah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN