TAKLIMAT… Jonathan mendengar taklimat daripada Ketua Polis Daerah Ranau mengenai situasi semasa PKPD di Kg.Paginatan dan Kg.Maringkan.
RANAU – Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia, Jonathan Yassin menasihatkan semua petugas barisan hadapan agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengelak daripada menjadi mangsa wabak Covid 19 ketika menjalankan tugas khasnya dikawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau menyatakan, petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terlibat secara langsung menjalankan tugas penguatkuasaan PKPD di Kampung Paginatan dan Maringkan perlu lebih berwaspada dengan penularan wabak berkenaan agar mereka sentiasa sihat untuk menjalankan tugas.
Sumbangan barangan makanan kepada para petugas barisan hadapan disampaikan Jonathan kepada DSP Sammy
“Peranan petugas barisan hadapan amat penting dalam masa PKPD dikedua-dua kampung ini. Justeru mereka perlu lebih berhati-hati ketika bertugas dan mempastikan segala prosedur operasi dipatuhi sepenuhnya” tegasnya dalam lawatan ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Mini Dewan Kg.Paginatan dan Kg.Maringkan.
Dalam pada itu,beliau turut berharap agar para penduduk kedua-dua buah kampung yang diisthiarkan PKPD memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
Katanya, kerjasama penduduk kampung mampu memutuskan rantaian penularan Covid 19 dan beliau berharap tidak ada mana-mana pihak yang melanggar peraturan PKPD bagi mengelak dikenakan tindakan perundangan.
Anggota keselamatan melakukan rondaan disepanjang Kg Maringkan untuk menguatkuasakan PKPD.
Dalam lawatan itu, beliau juga menyampaikan bantuan barangan makanan kepada para petugas barisan hadapan untuk keperluan sepanjang penugasan PKPD. Manakala agihan bakul makanan kepada penduduk terjejas juga giat dijalakan oleh para petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Ranau.
“Pihak saya akan sentiasa peka terhadap kebajikan para petugas termasuk penduduk kampung yang terjejas. Jika ada apa-apa keperluan, sila maklumkan terus kepada para pegawai saya di Pejabat Perhubungan Parlimen Ranau untuk kami memberikan bantuan sewajarnya”, jelasnya.
Turut bersama dalam lawatan itu adalah DSP Sammy Newton, Ketua Polis Daerah Ranau, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau, Awang Damit bin Pengiran Yusof, Pegawai RELA Daerah Ranau dan Lt.Shamsul bin Mansor, Ketua Pegawai Operasi APM Daerah Ranau.
Kg.Paginatan dan Kg.Maringkan dikenakan Perintah Kawalan Diperketat (PKPD) bermula 29 Disember 2020 sehingga 11 Januari 2021 berikutan peningkatan kes positif Covid 19 dikawasan perkampungan berkenaan.