24.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan kini turut  disambut di semua rakyat Malaysia

Robert bersama Jesica menyabit padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan KRT Keningau.

KENINGAU:Pesta Kaamatan kini turut  disambut di semua rakyat Malaysia kata Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Katanya, walaupun perayaan ini sinonim dengan KDMR namun pada hari ini sambutan Pesta Kaamatan telah menjadi milik semua rakyat Malaysia yang cintakan perdamaian.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, sambutan Kaamatan bukan sahaja diadakan di negeri Sabah tetapi juga di seluruh negara termasuk Sarawak dan Semenanjung yang dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin KDCA, badan NGO, agensi mahupun orang perseorangan.

“Penganjuran pesta ini secara meluas dapat dikongsikan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat KRT Daerah Keningau yang berlangsung di Dewan Terbuka Huguon Siou Kampung Tohan Baru kelmarin.

Selain itu katanya, penerimaan masyarakat berbilang kaum terhadap perayaan ini sekaligus menjadikan Pesta Kaamatan sebagai satu landasan yang baik untuk mendedahkan kesenian dan kebudayaan KDMR kepada masyarakat luar dan ia juga mengajar masyarakat untuk menerima kebudayaan bangsa lain sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan hasrat JPNIN sendiri untuk memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negara ini, saya amat yakin bahawa sambutan Pesta Kaamatan ini mampu memupuk perpaduan dan persefahaman yang kukuh” jelas Robert.

Pesta Kaamatan juga katanya, merupakan tanda kesyukuran dalam mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan.

Menyentuh tema Kaamatan tahun ini “Menjiwai Alam Semulajadi” Robert berkata, tema kali ini mengajar masyarakat untuk menghargai alam sekitar.

Beliau berkata, dunia hari ini semakin terancam dan memerlukan tanggungjawab bersama.

“Namun apapun temanya, pada dasarnya Kaamatan mengajar kita untuk sentiasa bersyukur atas apa yang telah kita terima dengan mengambil peduli alam sekitar” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Pengarah JPNIN Sabah Puan Jesica Basat, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Lingkis Asok, Pegawai Perpaduan Keningau, Penyelaras Perpaduan Keningau Ahamin Salim dan Pegawai-Pegawai-Pegawai Perpaduan Daerah kawasan Pedalaman.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN