Pengawas Sekolah bergambar bersama Muhd Suffian (tengah), Rusnita (kiri) Rosmainah (kanan)
RANAU: Seramai 70 orang peserta kursus kepimpinan kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan Nalapak terdiri daripada pengawas sekolah (28 orang), pengawas pusat sumber (30 orang) dan ketua kelas (12 orang) bertekad akan menjalankan amanah dan tangungjawab dengan baik sebagai pemimpin di sekolah.
Wakil peserta kursus, Jessandha Jimchon dalam ucapannya meminta rakan-rakannya bersama-sama mempraktikkan segala ilmu yang telah diperolehi sepanjang kursus untuk memperkasakan tugas pemimpin sekolah ke arah melahirkan pengawas berkaliber dan bertanggungjawab serta menjadi contoh terbaik kepada rakan-rakan pelajar yang lain.
“Kami bersyukur kerana melalui Kursus Kepimpinan ini kami dapat bersama-sama berkumpul untuk meningkatkan lagi tanggungjawab kami sebagai pemimpin kecil di sekolah. Kami yang senior berharap rakan-rakan lantikan baru akan mempraktikkan ilmu kepimpinan hari ini mengikut tugas masing-masing,” katanya.
“Bagi kami kursus ini amat bermakna kerana dapat melatih diri agar lebih berani dan berkeyakinan. Melalui panduan-panduan yang diberikan hari ini, kita berharap rakan-rakan peserta sama-sama mengawal sikap negatif seperti buli fizikal dan buli kata-kata yang boleh menyebabkan pergaduhan jika ada di kalangan pelajar,” katanya.
“Kita sebagai pemimpin kecil di sekolah ini juga hendaklah menunjukkan sikap terpuji dan sentiasa prihatin kepada persekitaran. Marilah kita sama-sama berkerja dalam satu pasukan untuk meningkatkan disiplin dan amalan sahsiah terpuji,” katanya lagi.

Penolong kanan Hal Ehwal Murid, Muhd. Suffian Samsir, dalam ucapan penangguhan kursus berkata pengawas, ketua kelas dan penolong merupakan barisan pemimpin murid tertinggi di sekolah. Adalah menjadi tanggunjawab sekolah untuk memberi pendedahan kepada tugasan dan seterusnya memupuk bakat kepimpinan murid.
“Kursus Kepimpinan Pelajar merupakan kursus tahunan yang wajib diadakan oleh Unit Disiplin dan Unit Bimbingan Dan Kaunseling di setiap sekolah sebagai langkah permulaan untuk mendedahkan tugas sebenar mereka,” katanya.
Penyelaras kursus, Rusnita Sarinin semasa dihubungi media berkata antara pengisian program ialah penyampaian ceramah bertajuk Bidang Tugas Pengawas & Prosuder Berkaitan yang disampaikan oleh beliau sendiri, Praktikal Ketua dan Penolong Ketua Kelas melibatkan penulisan buku kehadiran, 3 tatacara, tugas penting ketua dan penolong oleh Dorothy Simon, Praktikal Pengawas Pusat Sumber oleh Annong Hj Parijo berkaitan Jadual Kerja dan Prosuder Kerja dan Tugasan Semasa Perhimpunan & Menulis Buku Log oleh Rosmainah Sabirin.



