ADVERTISEMENTspot_img

VIDEO TULAR KEMALANGAN DI PENAMPANG: DUA PELANGGAN CEDERA RINGAN, POLIS SAHKAN INSIDEN

KENDERAAN TERBABIT …..Kereta yang rosak di bahagian hadapan selepas kemalangan di Jalan Papar Lama, Penampang, yang tular di media sosial dan menyebabkan dua individu cedera ringan.


PENAMPANG: Polis mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya yang tular di media sosial membabitkan dua kenderaan di Jalan Papar Lama, berhampiran Uptown Nambazan, di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden yang berlaku kira-kira jam 5.27 petang itu dirakam dalam video berdurasi 43 saat yang kini tersebar luas dalam talian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah kenderaan dipandu wanita tempatan mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan lalu naik ke kaki lima sebuah premis makanan,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, dua pelanggan yang berada di lokasi dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Kedua-dua pemandu yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis memaklumkan kes disiasat mengikut Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta memberi tumpuan penuh ketika memandu, khususnya di kawasan parkir yang sempit dan sesak.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN