26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Perusahaan seni kraftangan mampu jana ekonomi keluarga

Jusnah Jinos (gambar atas) seorang pengusaha seni kraftangan Kg.Bitoon

0leh: SARVIN R

RANAU: “Perusahaan seni kraftangan dikalangan penduduk kampung mampu menjana ekonomi keluarga jika ia dilakukan secara konsisten dan menepati citarasa pelanggan”, demikian dinyatakan oleh Jusnah Jinos seorang pengusaha seni kraftangan Kg.Bitoon yang juga Pengerusi Persatuan Kraftangan kampung tersebut.

Katanya, pengwujudan sebuah Bengkel Kraftangan di kampung mereka membolehkan semua peringkat masyarakat khasnya kaum wanita dan belia mempelajari teknik anyaman kraftangan seperti rantai manik, bakul dan arca.

“Setakat ini terdapat sebuah bangunan yang kami jadikan tempat untuk menghasilkan kraftangan di kampung kami. Bangunan tersebut disediakan khas oleh pihak Pejabat Daerah Ranau dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah. Di bangunan itulah tempat untuk mereka yang berminat mempelajari seni kraftangan belajar teknik anyaman”, jelas beliau ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Timbalan Ketua Wiramuda STAR Sabah, KONG SOON CHOI @AH CHOI (kiri) Turut memberikan sokongan kepada Pengusaha Kraftangan Kg.Bitoon

Jusnah turut menjelaskan, terdapat seramai 15 orang peserta yang berkerja sebagai pembuat kraftangan di Pusat Kraftangan Kg.Bitoon dan beliau masih mengalu-alukan penyertaan yang ramai dikalangan belia kampung tersebut. Individu yang berminat bukan sahaja berpeluang mengikuti kursus secara komperhensif daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, malah mereka turut boleh menggunapakai kemahiran yang ada untuk memohon lesen perniagaan kraftangan.

Kraftangan yang dihasilkan kebanyakan diperbuat daripada manik tanah liat, tumbuhan pokok dalai, kertas akhbar dan kotak telur untuk pembuatan arca. Pasaran perniagaan ini bukan sahaja didalam negeri Sabah malah menerima tempahan dari negeri Sarawak dan Semenanjung.

Selain itu, produk tersebut juga pernah dipasarkan diluar negara seperti Negara China dan Indonesia melalui Expo Penjualan Kraftangan Antarabangsa. Namun kekangan penularan pandemik Covid-19 menjejaskan pemasaran keluar negara sejak Mac tahun lepas.

Sebahagian lagi hasil kraftangan di Pusat Kraftangan Kg.Bitoon

Menjelaskan tentang pendapatan yang diperolehi, Jusnah berkata, sebelum penularan Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, beliau mampu meraih sekitar RM 2,000 ke RM 3,000 sebulan bagi pasaran dalam daerah malah boleh melebihi RM 5,000 melalui pasaran luar daerah. Harga pasaran produk kraftangan dijual bermula RM 2.00 hingga RM 300.00 mengikut saiz kraftangan.

Sementara itu, Kong Soon Choi, Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah turut memuji usaha yang dilakukan oleh Jusnah Jinos dan beliau berharap lebih ramai golongan belia menyertai kelas anyaman tersebut.

Tegasnya, seni kraftangan yang dihasilkan amat teliti dan hasilnya juga sangat menarik serta mampu diterima oleh pasaran di dalam dan luar negara. Hasil kraftangan itu juga antara produk mesra alam berdasarkan bahan-bahan terpakai serta tumbuhan tempatan yang digunapakai untuk penghasilan produk mereka.

“Saya berharap kerajaan akan terus membuka ruang kepada pengusaha kraftangan khasnya dikalangan penduduk kampung agar mereka memperolehi pendapatan tetap untuk menyara keluarga”, jelas Kong.

Antara hasil tangan puan Jusnah dan pelatihnya

Selain itu, Kong juga berharap agar penyaluran bekalan elektrik dapat disegerakan di Kg.Bitoon bagi memudahkan lagi para pengusaha kraftangan menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi.

Kg.Bitoon terletak lebih kurang 70 kilometer daripada Pekan Ranau yang mana penduduknya terdiri dari kalangan Etnik Dusun dan Lobu. Sesiapa yang betminat untuk membuat tempahan produk kraftangan boleh melayari laman facebook Jusnah Jinos atau laman page rasmi beliau di Dalai Beads Ranau. Ketika ini terdapat dua lokasi penjualan kraftangan dibuka iaitu di Sekolah Rendah Kebangsaan Tempios dan sebuah kedai di Perhentian Bas Daerah Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN