RANAU: Para pemegang adat di daerah ini khususnya di DUN 38 Paginatan digesa terus meningkatkan pemahaman tentang adat istiadat yang diguna pakai apabila ada pelanggaran adat di kampung yang terlibat agar setiap penjatuhan hukuman tidak terkeluar dari garis panduan yang ditetapkan.
Berucap pada penggulungan pembentangan buku adat resam yang dibentangkan oleh Ketua Kampung Soborong, Patrik Yagap, OKK Muhasip Hj. Ruman berkata, hukum adat juga sebenarnya diwujudkan bertujuan untuk menjaga ketenteraman setiap anggota masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian.
Beliau memuji masyarakat Kampung Soborong yang sentiasa memberikan kerjasama dan menerima pembentangan buku adat untuk diguna pakai di Kampung Soborong.
Muhasip (duduk 4 dari kiri) dan Dualis (duduk 4 dari kanan) bersama sebahagian penduduk
Muhasip juga menambah, penduduk Kampung Soborong harus berbangga dan bersyukur kerana selama ini mereka hanya ada kuota JPKK sahaja. Namun selepas GRS-BN memerintah kerajaan Negeri Sabah, Kampung Soborong kini mendapat kuota untuk ketua kampung. Ini adalah atas usaha Wakil Rakyat DUN N38 Paginatan merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Abidin Madingkir yang berusaha mewujudkan kuota ketua kampung, Kampung Soborong.
Terdahulu turut berucap pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, KAN Dualis Porodtong. Antara lain ucapannya ialah memberi dorongan kepada pemegang adat yang hadir agar memberi komitmen yang tinggi dalam memperkasakan adat istiadat demi kebaikan kampung masing-masing.
Hadir dalam majlis itu ialah KAN Jaimin Jafry, KAN Sawalin Zakaria, Pengerusi Balai Adat Mukim Paginatan Paus, KK Tadius Tapin dan penduduk Kampung Soborong seramai 50 orang.