0leh: Aduka Jasnin Suman
RANAU: Pentas akhir Sugandoi dan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Daerah Ranau, berlangsung serentak pada malam esok, 30 April di Dewan Masyrakat Ranau, tanpa kehadiran orang ramai.
Acara tetutup itu akan disiarkan secara langsung (live- stream) bermula 7.30 malam menerusi laman Facebook ‘Pesta Kaamatan Ranau’. /https://www.facebook.com/PestaKaamatanRanau/
Seramai 7 peserta akhir Sugandoi akan berentap di peringkat akhir, manakala pertandingan Unduk Ngadau bakal menampilkan 10 jelitawan untuk merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan Ranau 2021.
Pengerusi bersama Sugandoi dan Unduk Ngadau, J.Sam Hj.Sundin dan Florencia Padasian, ketika ditemui Borneo Daily Bulletin berkata, selain kehadiran orang ramai tidak dibenarkan, acara perasmian juga turut ditiadakan.
Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa menjadi keutamaan penganjur dengan hanya AJK pelaksana, petugas teknikal dan juri pertandingan sahaja yang akan berada di dalam dewan iaitu maksimum 50 orang.
Justeru, sebagai tanda sokongan kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu, orang ramai khususnya warga Ranau, dijemput untuk sama-sama menonton menerusi siaran secara langsung malam esok.