ADVERTISEMENTspot_img

Persiapan SUKMA skuad Gimnastik Artistik Sabah di landasan baik

Harapan… skuad Gimnastik Artistik Sabah menang dua emas, tiga perak dan 13 gangsa pada Kejohanan Gimnastik Artistik Kebangsaan  di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) skuad gimnastik Sabah berada di landasan yang baik berdasarkan persembahan memberangsangkan mereka pada Kejohanan Gimnastik Artistik Kebangsaan  di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung di MSN Gym III Bukit Jalil itu menyaksikan Sabah yang mengambil bahagian dalam kategori senior dan junior meraih dua emas, tiga perak dan 13 gangsa.

Ketua jurulatih Sabah, Liew Tong Ee berkata, ia pencapaian memberangsangkan terutama kebanyakan pingat termasuk dua emas dimenangi gimnas senior yang sedang dalam persiapan menghadapi  SUKMA 2026 Selangor pada Ogos depan.

“Ini persiapan yang baik… kita dapat lihat pasukan lelaki dan perempuan kita berpotensi  meraih pingat,” katanya sambil memberitahu bahawa kejohanan itu juga merupakan pusingan kelayakan ke SUKMA 2026 Selangor.

Beliau berkata, gimnas kebangsaan Sabah, Marvell Vincent Voo juga kini sudah berada dalam keadaan baik selepas pulih dari kecederaan yang dialaminya awal tahun ini.

Marvell menang pingat emas disiplin Kuda Berpelana Gimnastik Artistik Lelaki (MAG) senior dan dua perak menerusi disiplin Palang Sejajar dan Senaman Lantai.

Marvell bersama Mohd Zaer Zabidi Harman, Evan Emmanuel Walter, Lucas Immanuel Rijoh, Leevan Savahi Moosom dan Addison Chang Sui Xin juga menang perak acara berpasukan.

Leevan juga sumbang dua gangsa bagi acara Keseluruhan dan Gelang.

Pingat emas kedua pula dimenangi menerusi acara berpasukan kategori Gimnastik Artistik Wanita (WAG) senior di mana skuad Sabah dibarisi Bernadith Norbert, Cheung Jia Zhen, Jaymee Jordan James, Lana Selongga Moosom, Lexianne Davona Benjamin, Liew Jia Lee dan Chloe Love Lajanty.

Jaymee turut menambah satu gangsa menerusi disiplin  Lombol individu.

Dalam kategori MAG Junior, satu-satunya wakil Sabah, Benny Angelloti Luise meraih tiga pingat gangsa  menerusi disiplin Keseluruhan, Palang Sejajar dan Lombol.

Pertandingan WAG Pra-Junior pula menyaksikan Sabah memenangi tujuh gangsa termasuk dalam acara Berpasukan.

Pasukan itu dianggotai Hana Elora Clement, Aliya Gabriella Fredolin, Marion Viclin Victor, Jewel Sinuau Jason Majalang, Rossy Sandrina Ridin dan Allysa Liew Jyn Yun. Ahli pasukan lain ialah Nea Roxanne Alfred, Sunduvan Gabrriella Julian dan Alanis M. Joebonaventure.

Jewel turut memenangi tiga gangsa menerusi disiplin Lombol, Batang Titian dan Keseluruhan Individu, Palang Bertingkat manakala Marion menang dua gangsa (Lompatan dan Senaman Lantai).

Skuad Sabah diiringi pengurus pasukan Marilyn Buseong serta barisan jurulatih yang terdiri daripada Zamri Din, Azri Omar, Brandon Denoley Luise dan Noraini Jamlan.

“Kini kami sedang cuba dapatkan kem latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara sebagai persiapan akhir sebelum ke Sukma,” kata Liew yang juga salah seorang pengadil pada kejohanan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN