Sinawat (depan ketiga dari kiri) bersama AJK Tertinggi PUSAKA dan rombongan merakamkan gambar kenangan di Sepilok.
BELURAN: Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom (PUSAKA) akan membuat jelajah menjejaki bekas kubu (lavang) Pahlawan Murut yang lebih dikenali dengan nama Ontoros di Salangit awal tahun hadapan.
Presiden PUSAKA Sinawat @ Welly Antakah berkata, jelajah itu bertujuan membuat trek pejalan kaki dari bekas pusat pentadbiran British di Rundum ke bekas kubu pahlawan Murut tersohor itu di Salangit yang lebih dikenali ‘silar pinikit’
Katanya, perkara ini sudah lama dirancang dalam beberapa siri mesyuarat persatuan tetapi ia belum dapat dilaksanakan.
“Kita berharap ia dapat dilaksanakan tahun hadapan kerana lokasi yang bakal dijejaki itu adalah tempat bersejarah yang dikaitkan dengan peristiwa berdarah Salangit – Rundum 1915” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bulanan PUSAKA di rumah kediamannya di sini baru-baru ini.
Menurut Sinawat, langkah pertama adalah menjejaki bekas kubu Pahlawan Murut tersohor itu sebelum membuat trek laluan pejalan kaki yang dijangka memakan masa berjalan kaki meredah hutan tebal dalam tempoh tiga atau empat hari.
Katanya, langkah kedua adalah membersihkan trek atau laluan pejalan kaki sepanjang laluan yang akan dikenalpasti kelak.
“Setelah semuanya selasai, pihak PUSAKA akan memohon kepada kerajaan melaluin jabatan dan agensi yang berkaitan supaya tempat bersejarah itu dijadikan sebagai produk pelancongan” jelasnya.
Sehubungan dengan ini Sinawat meminta supaya Biro Pelancongan dan Rekreasi membuat kertas kerja dan membentuk Ahli Jawatankuasa bagi tujuan ini sebelum ia dilaksanakan.
Sementara itu Pengerusi Biro Pelancongan dan Rekreasi PUSAKA Balang Baru berkata, pihaknya akan membuat perancangan termasuk mengadakan mesyuarat khas pembentukan AJK yang bakal menjadi pelaksana program.
“Kita akan bentuk AJK yang mewakili tujuh jurusan dalam PUSAKA yang akan menjadi hos program ini kelak” jelasnya.
PUSAKA mempunyai tujuh jurusan iaitu, jurusan Aru Apoi, Aru Rikut, Aru Sunggulan, Aru Bait, Aru Bayur, Aru Lantahon dan Aru Alip.
Sempena mesyuarat bulanan PUSAKA itu, ahli-ahli persatuan telah mengadakan lawatan di beberapa lokasi menarik di sekitar Sandakan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Taman Buaya dan beberapa lagi pusat pelancongan di Sandakan.