28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PERSATUAN ETNIK SABAH BANGKIT PERTAHAN MARUAH TYT: TEGASKAN TINDAKAN TERHADAP FAHMI REZA

KENINGAU: Gabungan beberapa persatuan kebudayaan etnik bumiputera di Keningau tampil dengan suara lantang mempertahankan kehormatan Sabah dan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman.

Mereka menyokong penuh tindakan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau yang mengambil langkah menyaman pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza, atas karikatur yang didakwa menghina TYT dan melanggar sensitiviti adat rakyat Sabah.

Antara persatuan yang menyatakan sokongan ialah Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Persatuan Gana Sabah (PGS), Persatuan Kebudayaan Dusun Kujau Sabah (P.D.K.S.), dan Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Patikang Laut Keningau.

Dalam kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin persatuan ini meluahkan kekecewaan mendalam terhadap tindakan yang mereka sifatkan sebagai penghinaan besar terhadap institusi tertinggi negeri Sabah.

“Sabah adalah tanah adat dan kehormatan, dan kami tidak akan berdiam diri apabila maruah negeri ini dan pemimpin nombor satunya dipermainkan.

Tindakan Fahmi Reza bukan sekadar biadab tetapi melanggar nilai-nilai asas perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah,” tegas Timbalan Presiden KGNS, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles.

Presiden PGS, Ahmad Razalie @ Titus Andrew Selabin Sapawan, menambah, “Karikatur tersebut bukan sahaja menghina Tun Musa Haji Aman tetapi juga merendahkan martabat seluruh rakyat Sabah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.”

Terdahulu, Ketua Daerah Bingkor, OKK Daniel Palangi, menjelaskan bahawa berdasarkan Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah No. 13 Tahun 1992, pelaku seperti Fahmi Reza boleh dikenakan sogit, iaitu hukuman adat yang bertujuan mengembalikan keharmonian dan menghormati undang-undang tradisional Anak Negeri.

“Sogit adalah mekanisme penting dalam adat masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) untuk menangani pelanggaran serius.

Dalam kes ini, sogit boleh melibatkan denda berupa penyembelihan haiwan, yang bukan hanya simbol penalti tetapi juga pengajaran kepada masyarakat umum,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden P.D.K.S., Jailine Rose Lian, menyatakan bahawa langkah tegas ini penting untuk melindungi maruah institusi TYT.

“Kita perlu ingat, menghina TYT bukan hanya menyerang individu tetapi seluruh rakyat Sabah yang menghormati adat dan pemimpin mereka.

Tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan menjadi budaya,” ujarnya.

Nuar @ Salamat Jaimi dari Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Patikang Laut Keningau pula menyeru rakyat Sabah bersatu dalam mempertahankan adat dan nilai tradisional.

“Sabah adalah negeri yang kaya dengan budaya dan adat istiadat. Tiada siapa yang berhak merendahkan atau mencemarkan warisan kita,” katanya dengan penuh semangat.

Sehubungan dengan itu
Persatuan-persatuan ini yakin tindakan MAN Keningau akan menjadi peringatan tegas kepada sesiapa sahaja bahawa adat dan kehormatan negeri Sabah tidak boleh dipandang ringan.

“Kami berdiri teguh di belakang Mahkamah Anak Negeri Sabah adalah milik rakyatnya, dan adat kita adalah jiwa negeri ini.

Kita tidak akan benarkan sesiapa pun, walau di mana pun mereka berada, memperlekehkan adat dan maruah pemimpin kita,” tegas kenyataan mereka.

Dengan langkah ini, mereka berharap Sabah terus dihormati sebagai negeri yang memegang teguh kepada adat, perpaduan, dan keharmonian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN