31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum perlu dikekalkan: Abidin Madingkir

Abidin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas pada majlis tersebut

RANAU: Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah ini perlu dikekalkan kerana ia merupakan kunci kepada keharmonian yang mampu menarik kedatangan pengunjung ke kawasan itu.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, perhimpunan yang dihadiri pelbagai kaum dan agama sempena Hari Keluarga dan Sambutan Kesyukuran antara contoh terbaik dalam memperkukuh semangat perpaduan.


“Ia juga dapat memupuk semangat hormat-menghormati dan pada masa sama menjadikan persekitaran terus harmoni dan aman. Ini adalah ramuan penting dalam menarik orang lain datang ke tempat kita.


“Ini relevan terutama kepada kita di Ranau yang merupakan kawasan destinasi pelancongan. Dengan pembukaan semula sempadan yang telah bermula baru-baru ini, kita mahu melihat lebih ramai pelancong luar datang ke sini,” katanya.


Abidin yang juga Adun N38 Dun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Keluarga dan Kesyukuran Kg Marakau yang diadakan di Dewan Kg Marakau pada Sabtu.


Program ini dianjurkan bersama oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dambalang Noudu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Bombon dan Kelab Belia Marakau (KBM).


Dalam pada itu, Abidin turut menekankan aspek kesihatan kepada penduduk terutama membabitkan penjagaan kebersihan diri serta kebersihan persekitaran kerana ia mencerminkan ciri-ciri penduduk di sini secara keseluruhannya.

Abidin menandatangani plak Bilik Pentadbiran JPKK Kg Marakau yang baru siap dibina


“Sebagai masyarakat yang tinggal bersama di kampung, setiap anggota masyarakat perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan. Ini penting bagi mengelak daripada dijangkiti penyakit dan mengelakkan sebarang penyakit daripada terus merebak.


“Kampung yang bersih bukan sahaja mencerminkan keperibadian penduduk itu sendiri malah memberi pandangan positif kepada masyarakat luar khususnya kepada pelancong terhadap imej kampung tersebut,” katanya.


Beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur serta penduduk kampung di atas kejayaan penganjuran tersebut dan berharap acara seumpama itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadi tradisi di kawasan ini.


Dalam majlis itu, Abidin turut merasmikan Bilik Pentadbiran JPKK Kg Marakau yang baharu siap dan menyampaikan sumbangan kepada seramai 41 warga emas sekitar kawasan itu.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah (ADO Pentadbiran), Florencia Padasian, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N38 Paginatan, Hisyamudin Harun, Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Hj Ruman dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN