Fahmi (kiri) ketika sesi bersama Komuniti Madani Zon Sabah 2025 yang diwawancarakan oleh Nuzul (kanan).
KOTA KINABALU: Permukiman Komuniti Madani menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan dan rakyat di Sabah.
Program yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil itu merupakan platform Komuniti Madani sebagai penghubung maklumat di peringkat akar umbi bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dapat difahami serta disampaikan secara berkesan kepada Masyarakat.
Penganjuran Permukiman Komuniti Madani Siri 2 pada Rabu itu bertujuan memperkukuh fungsi dan peranan Komuniti Madani sebagai agen komunikasi kerajaan di samping mempertingkat kefahaman terhadap dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan secara inklusif dan berkesan.
Antara pengisian utama program ialah Taklimat Belanjawan 2026 yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Belanjawan Kementerian Kewangan, Zulkhairil Amar Mohamad.
Taklimat tersebut dilaksanakan secara hibrid dengan penyertaan 2,273 ahli Komuniti Madani seluruh Sabah bagi memberi pencerahan awal mengenai dasar dan hala tuju Belanjawan 2026.
Terdahulu, Permukiman Komuniti Madani Siri 1 telah dilaksanakan di Sandakan melibatkan daerah-daerah di Zon Sabah Timur. Program Siri 2 Kali ini menghimpunkan 219 ahli Komuniti Madani mewakili 17 daerah dari Zon Sabah Barat dan Zon Pedalaman, sekali gus melengkapkan pelaksanaan program bagi seluruh Sabah.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Julina Johan serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi Negeri Sabah./Penerangan



