Abidin (tiga kiri) menyampaikan pakaian seragam Adat kepada salah seorang Ketua Kampung
RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir menegaskan tentang perlunya ada sikap kerjasama antara satu sama lain khususnya dalam kalangan ketua masyarakat di kawasan ini.
“Kita tidak mahu melihat sebarang pertikaian atau perselisihan faham antara sesame, khususnya di kalangan para Pemegang Adat dan antara Pemegang Adat dengan pemimpin JKKK.
“Sentiasa bekerjasama dengan JKKK untuk menyelesaikan apa jua masalah dan jangan buat masalah itu sendiri. Apa yang penting kerjasama antara satu sama lain.
“Kerjasama dalam kalangan pemegang adat, JKKK, dan kepimpinan Mahkamah Anak Negeri (MAN) akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat di kalangan semua pihak kepada Wakil Rakyat,” katanya.
Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Baju Pemegang Adat DUN Paginatan yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Bintang Kg Lohan Ulu dekat sini baru-baru ini.
Berhubung program itu, beliau mengajak ketua-ketua masyarakat di sini untuk berterima kasih atas sumbangan pakaian daripada kerajaan dan berharap sumbangan itu dihargai oleh setiap anggota Adat di kawasan ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemegang Adat Paginatan, KAN Dualis Porodtong melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan pakaian daripada Kerajaan Negeri kepada pemegang Adat di sini.
Beliau menggesa semua ahli Persatuan Pemegang Adat agar sentiasa menyokong apa jua aktiviti yang dirancang oleh Wakil Rakyat Negeri Paginatan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Hj Rauman menggesa semua Ketua Adat di sini agar sentiasa berusaha meningkatkan prestasi sebagai Pemegang Adat.
“Sentiasa kemaskini diri dengan situasi semasa. Sebagai lantikan politik, kita serahkan kepada Wakil Rakyat sama ada perkhidmatan kita diteruskan atau tidak. Dan jangan patah semangat jika perkhidmatan tidak diteruskan,” katanya.
Muhasip turut memohon maaf atas Majlis Rumah Terbuka Krismas MAN baru-baru ini yang disalah anggap sebagai Rumah Terbuka Krismas Datuk Abidin.
Bagaimanapun, beliau turut mengucapkan tahniah kepada ahli MAN Ranau atas penyertaan mereka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas tiga Yang Berhormat di Dewan Masyarakat Ranau baru-baru ini.
Beliau turut mengumumkan mulai sekarang pelantikan Pemegang Adat akan dilakukan mengikut penggal DUN dan bukan setiap dua tahun seperti sebelum ini.
“Ambil peluang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan teruskan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada YB kita,” katanya.
Turut hadir Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Pemaju Mukim DUN Paginatan dan lain-lain.