Pemain U9 Kelab RYFC bersama Coach Keiru & Coach Lady @ Vie (kanan)
RANAU: Perlawanan persahabatan bola sepak bagi kategori Grassroot U12 dan U9 diadakan di padang SK Pekan 2, di sini hujung tahun lalu, menandakan penutup tahun yang meriah untuk program perkembangan bola sepak kanak-kanak di daerah ini.
Acara ini bukan sahaja menjadi platform yang menarik untuk menunjukkan bakat muda, tetapi juga untuk merapatkan silaturahim antara kelab-kelab bola sepak yang ada di Ranau.
Penganjur acara, Sylviana Viana Saiki @ Vie, yang lebih dikenali sebagai Coach Lady di kalangan para pemain dari Kelab RYFC, juga berperanan sebagai pengurus besar dan setiausaha kelab tersebut.
Menurutnya, perancangan awal hanya melibatkan tiga pasukan utama; Kelab RYFC, Sepadu FT, dan Ranau Frenz FT. Namun, pada saat akhir, dua pasukan tambahan, Ex-Paiwen FT dan Kundasang FT, turut menyertai pertandingan ini. Ada beberapa pasukan lagi yang menyatakan hasrat untuk mengikuti perlawanan persahabatan ini tetapi masa tidak mencukupi, menurut Vie lagi.
Keputusan ini menunjukkan peningkatan minat di kalangan ibubapa penjaga serta kanak-kanak untuk berpartisipasi dalam aktiviti sukan.
Antara pasukan yang berentap dalam perlawanan ini adalah Kelab RYFC, Sepadu FT, Ranau Frenz FT, Ex-Paiwen FT, dan Kundasang FT. Dalam kategori U12, pasukan Ex-Paiwen mencuri tumpuan dengan meraih 10 mata terkumpul, menjadikannya yang tertinggi dalam perlawanan ini.
Sementara itu, dalam kategori U9, Kelab RYFC mendahului dengan 7 mata terkumpul, mengatasi semua pasukan lain dalam kategori tersebut.
Sepanjang perlawanan, kerjasama erat daripada pengurus pasukan Sepadu FT, Cikgu Suzri, sangat dihargai. Beliau bertanggungjawab dalam mengatur persiapan padang, pengadil, dan sistem pembesar suara, yang semuanya memainkan peranan penting dalam kelancaran perjalanan perlawanan.
Coach Lady mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama sekali jurulatih utama Kelab RYFC, Coach Keiru Jumin serta ahli Kelab RYFC, Aaron Duff Alfredchris, Danish Owen Abdullah dan Christiano Juan Keiru. menjelaskan bahawa kerjasama semua pasukan merupakan elemen penting dalam kejayaan acara ini.
Perlawanan satu hari ini berjalan dengan lancar berkat kerjasama dan semangat juang semua jurulatih pasukan masing-masing dan semua peserta. Kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memberikan sokongan kepada anak-anak mereka juga turut menambah meriah suasana.
Teriakan sokongan daripada mereka jelas dapat didengar sepanjang perlawanan, namun yang paling membanggakan adalah tidak ada sebarang kekecohan yang berlaku. Kesefahaman dan disiplin yang ditunjukkan oleh keluarga masing-masing adalah sesuatu yang sangat dihargai oleh penganjur dan pasukan.
“Perlawanan persahabatan ini bukan sahaja menandakan berakhirnya program untuk tahun ini bagi Kelab RYFC, tetapi juga mencerminkan harapan untuk perkembangan lebih lanjut dalam bidang sukan bola sepak kanak-kanak di daerah Ranau khususnya bagi para pemain di bawah Kelab RYFC.
“Diharapkan inisiatif seperti ini akan terus diteruskan dan akan menggalakkan lebih ramai penyertaan di kalangan kanak-kanak, demi membina generasi pemain yang cemerlang di masa hadapan, ujar Vie.