25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PERKIS semakin kukuh di kalangan komuniti tempatan

Penyerahan Mock Cheque dari PERKIS Sabah untuk PERKIS Bahagian Ranau oleh Haji Abd Sani (kiri) kepada Haji Anuar


RANAU: Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) terus memperkukuhkan kehadirannya di komuniti tempatan melalui program jelajah Presiden PERKIS Sabah ke daerah Ranau yang diadakan di sini baru-baru ini.


Program ini bertujuan untuk mendekati masyarakat Islam setempat, memperkukuh ukhuwah, serta memahami keperluan komuniti di kawasan luar bandar.


Presiden PERKIS, Haji Abd Sani bin Marif berkata bahawa pertubuhan ini bukan sahaja berperanan sebagai badan kebajikan tetapi juga sebagai platform dakwah yang menyebarkan ajaran Islam yang benar dan menyantuni semua lapisan masyarakat.


“PERKIS memberi tumpuan kepada pendidikan agama, bantuan kebajikan, dan pembangunan ekonomi masyarakat Islam, khususnya golongan asnaf dan kurang berkemampuan.


“Ranau mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai model komuniti Islam yang progresif. PERKIS komited untuk memastikan pembangunan spiritual, sosial, dan ekonomi berjalan seiring demi kesejahteraan ummah,” katanya.


Beliau turut berkongsi wawasan PERKIS bagi daerah Ranau, yang melibatkan peningkatan pendidikan agama iaitu meningkatkan akses kepada pendidikan Islam berkualiti melalui kerjasama dengan masjid dan surau.


“Di samping itu, katanya ia juga melibatkan pemerkasaan ekonomi dengan melaksanakan program keusahawanan berasaskan Islam untuk membantu keluarga B40 meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Bahagian PERKIS Ranau, Haji Anuar bin Samitah, menekankan bahawa keutamaan bahagian Ranau adalah memperkukuh ukhuwah antara penduduk Islam di daerah ini.


“Hala tuju utama PERKIS Ranau termasuk penyatuan komuniti, iaitu menggalakkan perpaduan dan saling membantu antara masyarakat melalui program kemasyarakatan seperti gotong-royong, sambutan hari kebesaran Islam, dan kuliah agama.


“Bagi aspek pembangunan belia, kita menganjurkan program khas untuk generasi muda seperti bengkel keusahawanan, motivasi akademik, dan latihan kepimpinan.


“Dan bagi pembangunan Infrastruktur Islam, kita akan memastikan masjid dan surau di kawasan pedalaman Ranau dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi bagi kegunaan ibadah dan aktiviti komuniti,” katanya.


Haji Abd Sani menambah, harapan dan masa depan badan itu ialah agar masyarakat Islam di Ranau terus berkembang maju dalam segala aspek kehidupan.


“Perlu ditekankan bahawa hanya dengan perpaduan, kerjasama, dan usaha berterusan, Ranau mampu menjadi model komuniti Islam yang cemerlang, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di peringkat kebangsaan,” jelas beliau.


Program jelajah ini turut disertai dengan sumbangan kepada beberapa keluarga asnaf, bantuan pelajaran bagi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan perbincangan hala tuju strategik antara pimpinan PERKIS dengan komuniti setempat.


Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan Mock Cheque dengan nilai sebanyak RM15,000 yang disampaikan dari PERKIS Sabah untuk PERKIS Bahagian Ranau.


Dalam program tersebut juga, Haji Abd Sani turut menerima penyerahan borang keahlian dan mengharapkan lebih ramai penduduk Ranau yang akan menyertai PERKIS.


Turut hadir di majlis itu, Timbalan Presiden Perkis Sabah 1, Hj. Jusih Hj. Sarin, Naib Presiden Perkis 1, Mohammad Gudiman, Timbalan Ketua Bahagian Perkis Ranau, Ustaz Nordin Azmain bin Abd Salam, Naib ketua bahagian Perkis Ranau, Mohd Nazmin bin Kamin, antara lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN