26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Perkasakan JPKK, Contohi Republik Indonesia: Madius

MADIUS

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru kerajaan untuk memperkasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan mengambil contoh daripada Republik Indonesia.

Menurutnya, perkara tersebut telah dicadangkan beliau berkali-kali di Persidangan Dewan Rakyat memandangkan JPKK mempunyai tanggungjawab yang besar di peringkat komuniti khususnya dalam merealisasikan usaha kerajaan dalam menoktahkan penduduk miskin tegar.

“Sebagai makluman Ahli Dewan, di Indonesia Setiausaha Majlis Perdesaan atau JPKK itu ialah seorang kakitangan kerajaan. Sampai begitu sekali pemerkasaan dibuat.

“Bagaimana pula kita di negara ini? Difahamkan sampai sekarang ini Kerajaan Persekutuaan dan Kerajaan Sabah belum lagi mendapat persetujuan tentang rupabentuk JPKK serta pelantikannya,” katanya.

Madius berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai isu tata kelola JPKK katanya, pada ketika ini wujud kecelaruan dalam pelantikan JPKK antara pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

“Kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mahu melantik JPKK daripada Persekutuan. Namun menurut pihak Kerajaan Sabah pula, JPKK ini adalah hal negeri.

“Jadi gaduh punya gaduh, sampai sekarang sudah beberapa bulan semua JPKK tidak dibayar elaun. Kesemua mereka masih tertunggu-tunggu. Yang tidak dibayar elaun ini juga termasuklah Ketua Kampung.

“Hal ini menyebabkan mereka ini sekarang lemah longlai. Tiada semangat membuat kerja kerana tiada elaun. Siapakah harus dipersalahkan? Bagaimanakah kita bercerita tentang tata kelola atau governans dalam keadaan seperti ini?

“Dan saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, bilakah Pengerusi JPKK dan Setiausaha JPKK yang telah dilantik di Sabah ini akan mererima bayaran elaun? Sekarang ini masuk tandas awam pun kita kena bayar. Takkan mereka yang berkhidmat di peringkat komuniti setempat terus diabaikan,” tegasnya.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera akan menyebabkan banyak hal-hal berkaitan kampung berhadapan dengan masalah.

“Jadi hal JPKK ini adalah satu perkara yang amat kritikal dan perlu diselesaikan segera oleh pihak kerajaan,” ujar Madius.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN