BANTUAN…. Dr Fary menyampaikan bantuan wang ehsan Perbadanan Labuan kepada Fatimah Ibrahim mangsa rumah rosak dihenpap pokok tumbang sambil diperhatikan oleh Timbalannya, Ibrahim Tambi.
LABUAN: Pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan (PL) akan bertindak sebagai agensi peneraju untuk menyelaras inisiatif Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) COVID-19 Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata agensi ini turut mendapat kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Labuan serta dibantu beberapa agensi jabatan kerajaan berkaitan.
Beliau berkata, Perbadanan Labuan akan mengaktifkan jentera melibatkan Unit Kesihatan, Unit Penguatkuasaan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Majlis Pengurusan Masyarakat Desa.
“Program yang sedang kami gerakkan adalah amat penting dalam memastikan Labuan mengekalkan status Hijau bagi pemularan COVID 19” katanya pada sidang akhbar, kelmarin.
Terdahulu dari itu, beliau menyerahkan bantuan ehsan kepada ketua keluarga mangsa kebakaran Kampung Lajau dan Taman Mutiara di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.
Turut menermia bantuan yang sama ialah mangsa bencana rumah roboh akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Penghulu Tuah Kampung Durian Tunjong.
Menjelaskan lebih lanjut Dr, Fary berkata, Labuan sebagai pulau bebas cukai, pusat kewangan antarabangsa serta hab minyak dan gas serantau masih terdedah kepada jangkitan COVID-19 susulan pengaliran masuk dan keluar kru asing serta ekspatriat.
Justeru itu peranan tersebut menuntut peningkatan tanggungjawab masyarakat, terutama pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, bagi memastikan bahawa semua anggota masyarakat mereka mematuhi normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, terdapat empat prinsip dalam norma baharu SOP iaitu kawalan sempadan, sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan perlindungan diri.
“Konsep Mencegah dan Mendidik, Mempraktikkan, Mematuhi dan Memantau (CAPP) bagi mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab serta membolehkan mereka menjadi ‘petugas barisan hadapan’ dalam melindungi diri mereka, keluarga masing-masing dan komuniti tempatan daripada COVID-19,” katanya.