GAMBAR: Bashir (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal (empat dari kanan) sempena Kunjungan Hormat UMSKAL ke pejabat Pengerusi Perbadanan Labuan baru baru ini.
LABUAN:Pelbagai program telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan untuk melonjakkan kembali ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias berkata pihaknya menerusi jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telahpun merangka beberapa kaedah untuk memastikan Labuan berada pada landasan yang tepat ke arah pembangunan lebih mampan pada masa hadapan.
Beliau yang juga, Ahli Dewan Negara, berkata selain sektor ekonomi, sektor lain yang turut diberi perhatian ialah pelancongan, pendidikan tinggi, sukan, bidang keagamaan dan industri kecil dan sederhana (IKS) serta keusahawanan untuk menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke pulau bebas cukai ini.
“Perbadanan Labuan akan memastikan Labuan setanding dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya bukan sahaja dari pembangunan fizikal tetapi juga mampu menarik lebih ramai pelancong ke wilayah ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid di Pejabat Pengerusi Perbadanan Labuan di Tingkat 10, Menara Perbadanan Labuan pada Isnini lalu.
Turut menyertai delegasi UMSKAL itu ialah Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Muzaffar Hamzah. Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Rini Suryati Sulong dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.
Hadir sama dua Pegawai Datuk Bashir,Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Ghani Yunus danPegawai Khas Datuk Bashir, Mohd Dzulfaizal Ab Manan.
Bashir menjelaskan hubungan baik dan kerjasama pintar perlu dijalin dengan UMSKAL selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tunggal di Wilayah Persekutuan Labuan bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi pendidikan tinggi tetapi juga menjadikan bidang tersebut sebagai tarikan lebih ramai pelajar tempatan dan luar negara melanjutkan pengajian tinggi mereka di sini.
Sementara itu, Dr. Mohamad Rizal berkata UMSKAL akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Labuan selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah FKAL, FKI dan Pusat Penataran, Ilmu dan Bahasa (PPIB) untuk membangunkan Labuan.
Beliau turut memaklumkan kehadiran pensyarah, kakitangan dan pelajar dari dalam dan luar negara mampu membantu menjana ekonomi dan industri pelancongan tempatan.
“Kami sentiasa berusaha menarik kehadiran pelajar luar negara termasuk dari negara-negara ASEAN seperti Indonesia untuk melanjutkan pengajian tinggi di UMSKAL.
“UMSKAL juga terbuka kepada komuniti setempat untuk berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah kami,”katanya.