PENGHARGAAN……..PS Yehezkiel (tengah) menyampaikan Cenderakenangan kepada Rev. Dr. Sintoh diiringi PTA Sylvester.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU,: Perasmian Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Togis menjadi satu pencapaian bermakna bagi komuniti gereja setempat dalam memperkukuh iman, memantapkan perpaduan jemaat serta memperluas pelayanan kepada masyarakat berlandaskan kasih Kristus.
Majlis perasmian disempurnakan Presiden SIB Sabah, Rev. Dr. Sintoh Yusop, yang turut menyampaikan khutbah dan amanat rohani dengan menyeru jemaat supaya terus menjadikan Kristus sebagai landasan utama dalam kehidupan, persekutuan dan pelayanan gereja.
Dalam amanatnya, beliau menzahirkan kesyukuran atas limpah kasih kurnia Tuhan yang memungkinkan Gereja SIB Togis dirasmikan, sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kesetiaan Tuhan serta hasil semangat perpaduan dan kerjasama seluruh jemaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sidang SIB Togis, Pastor Yehezkiel Mirin, barisan kepimpinan gereja, seluruh jemaat dan semua pihak yang menyumbangkan tenaga, masa, kewangan serta doa bagi merealisasikan pembinaan rumah ibadah berkenaan.
Memetik Mazmur 127:1, Rev. Dr. Sintoh mengingatkan bahawa setiap usaha manusia memerlukan penyertaan Tuhan bagi mencapai tujuan yang bermakna.

KENANGAN……..Para jemaat merakam gambar kenangan bersama Rev. Dr. Sintoh (dua kiri), Datuk Jonathan (tiga kiri) serta empat jemputan lain Sempena Perasmian Gereja SIB Kg. Togis Ranau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keindahan fizikal sesebuah rumah ibadah perlu disertai kehidupan rohani yang teguh, berteraskan firman Tuhan, tekun dalam doa dan sentiasa bertumbuh dalam kasih.
Menurutnya, Gereja SIB Togis diharapkan bukan sekadar menjadi tempat jemaat berhimpun untuk beribadah, malah berfungsi sebagai pusat pembinaan iman, pengukuhan institusi keluarga dan pembentukan generasi muda yang berpegang teguh pada ajaran Kristian.
Beliau turut menyeru jemaat supaya terus memelihara kesatuan, memberikan sokongan kepada kepimpinan gereja dan melibatkan diri secara aktif dalam pelayanan mengikut karunia masing-masing.
Rev. Dr. Sintoh berkata gereja juga perlu memainkan peranan sebagai saluran berkat kepada masyarakat, dengan memastikan kesaksian tentang Kristus bermula dalam keluarga, diperkukuh melalui persekutuan jemaat dan diperluas kepada masyarakat menerusi pelayanan yang membawa kasih, harapan serta kebaikan.
Majlis itu turut menyaksikan ucapan Pengerusi Pelaksana, Pastor Silvester Ikun, dan Ketua Kawasan, Pastor Lamiri Sitih, sebelum upacara perasmian dilaksanakan.
Antara tetamu kehormat yang diberikan penghargaan ialah Rev. Dr. Sintoh selaku perasmi, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, serta Pegawai Perhubungan ADUN N.36 Kundasang, Yubidi Gompoyo.
Majlis berkenaan diakhiri dengan doa penangguhan dan doa makan oleh Pastor Silvester Ikun, diikuti lawatan sekitar kawasan gereja serta jamuan bersama.
Dalam amanatnya, Rev. Dr. Sintoh turut mendoakan agar Gereja SIB Togis terus mendapat bimbingan dan perlindungan Tuhan, selain kepimpinannya dikurniakan hikmat untuk memastikan setiap pelayanan yang dilaksanakan terus memuliakan nama Tuhan serta membawa berkat kepada generasi akan datang.



