ADVERTISEMENTspot_img

Labuan FSA perkukuh kerjasama antara agensi dan tingkat tadbir urus pertubuhan berasaskan bukan keuntungan

Staff Labuan FSA yang menyertai Simposium Kebangsaan Non-Profit Organisation 2026.

LABUAN: Labuan FSA terus memperkukuhkan kerjasama antara agensi pengawal selia bagi meningkatkan tadbir urus serta membina keyakinan terhadap sektor Pertubuhan Bukan Berasaskan Keuntungan (NPO) di Malaysia, khususnya dalam menangani risiko pembiayaan keganasan.

Usaha itu diteruskan menerusi Simposium Kebangsaan Non-Profit Organisation 2026 yang menghimpunkan lebi 200 peserta, termasuk wakil NPO, pengawal selia dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan kesedaran serta memperkukuh langkah perlindungan dalam sektor berkenaan.

Simposium yang dianjurkan oleh Sub-Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Berasaskan Keuntungan (SCONPO) di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Membanteras Pengubahan Wang Haram, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Bertemakan Building a Resilient NPO Ecosystem: Understanding Terroist Financing Threats and Governance of Regulatory Responsibilities, simposium berkenaan memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, kesiapsiagaan serta langkah praktikal bagi membantu organisasi bukan untuk keuntungan memahami risiko pembiayaan keganasan dan memenuhi keperluan kawal selia.

Pengerusi SCONPO merangkap Timbalan Ketua Pengarah Labuan FSA, Syahrul Imran Mahadzir berkata, kepercayaan awam merupakan aset terbesar sektor NPO, manakala tadbir urus yang kukuh penting untuk melindungi kepercayaan itu dan memastikan sokongan masyarakat memberikan manfaat berterusan kepada komuniti.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama lebih erat, perkongsian maklumat serta langkah perlindungan yang bersesuaian bagi memastikan sektor berkenaan dapat berkembang dengan yakin tanpa menjejaskan misi sosial dan kebajikannya.

Dalam ucaptama beliau, Liew pula menekankan peranan NPO sebagai sektor ketiga bersama sektor awam dan swasta dalam menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya melalui perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan usaha memenuhi keperluan sosial masyarakat.

SCONPO yang dipengerusikan Labuan FSA menghimpunkan agensi berkuasa yang menyelia pelbagai segmen sektor NPO di Malaysia bagi menyelaraskan pendekatan kawal selia dan memperkukuh perkongsian maklumat.

Usaha berkenaan turut mendapat pengiktirafan dalam Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan atau FATF bagi 2025, yang mengiktiraf SCONPO sebagai platform utama perbincangan isu sektor dan perkongsian maklumat antara pengawal selia NPO.

Melalui kerjasama berterusan itu, Labuan FSA komited memastikan sumber kebajikan dan amal sampai kepada penerima yang sepatutnya serta dilindungi daripada penyalahgunaan, di samping membolehkan organisasi bukan untuk keuntungan meneruskan peranan sosial mereka dengan berkesan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN