Datuk Wong Kii Yii.
LABUAN: Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC), Datuk Wong Kii Yii mencadangkan supaya Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah turut mengambil kira dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Labuan dalam memperjuangkan peruntukan penyelenggaraan sekolah.
Beliau berkata cadangan itu susulan kenyataan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah, Datuk Michael Lui Yen Sang, mengenai peningkatan peruntukan penyelenggaraan SJKC kepada RM100 juta serta pengagihannya kepada 83 buah SJKC di Sabah.
Menurut Datuk Wong, perjuangan bagi kepentingan pendidikan Cina yang dibuat atas kapasiti Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah sewajarnya turut merangkumi keperluan masyarakat Cina di Labuan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebutan “83 SJKC di Sabah” ditukar kepada “85 SJKC di Sabah dan Labuan” apabila memperjuangkan peruntukan berkenaan.
Beliau menegaskan, dua buah SJKC di Labuan juga memerlukan sokongan kerajaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan sekolah.
Katanya, kerjasama antara masyarakat Cina di Sabah dan Labuan penting bagi memastikan semua SJKC di kedua-dua wilayah mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya demi kelangsungan serta perkembangan pendidikan Cina.
Tamat



