22.9 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 20, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Peranan ibu bapa dalam menyokong kejayaan dan kemenjadian murid: Jonathan

Jonathan (empat kanan) menerima cenderahati disampaikan Roseline Sempena majlis Sambutan Kaamatan Peringkat SK Pinawantai Ranau.


RANAU: Ibu bapa mempunyai peranan yang penting dalam menyokong kejayaan dan kemenjadian murid, supaya mereka merasa diambil berat oleh para ibu bapa dan guru-guru, kata Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin.


Hal tersebut, katanya, akan memberi kesedaran kepada anak-anak murid akan pentingya pendidikan dalam mencapai kejayaan-kejayaan besar, sekaligus mengubah nasib masa depan anak bangsa kepada satu tahap yang lebih baik lagi.


Pada tahap ini, tambahnya, anak-anak masih perlukan belaian kasih sayang serta perhatian daripada ibu bapa, justeru ibu bapa mengambil langkah yang penting dalam memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan yang secukupnya.


YB Datuk Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Tadau Kaamatan dan Tadau Paganakan PIBG SK Pinwantai yang diadakan di sekolah tersebut baru-baru ini.


Beliau berterima kasih atas usaha gigih dan murni para tenaga pengajar di sekolah ini sehingga mampu mencapai pelbagai kemajuan yang dapat dibanggakan dalam mendidik anak-anak murid di sekolah ini.


“Kita percaya usaha-usaha sebegini bukanlah sesuatu yang mudah dan ringan, sebaliknya memerlukan tanggungjawab, disiplin serta kesungguhan yang tinggi dalam mendidik anak bangsa.


“Lebih-lebih lagi rata-rata para pelajar di sini terdiri daripada latarbelakang keluarga yang miskin dan masih berusaha setiap hari untuk menaiktaraf kehidupan sosial. Justeru anak-anaklah yang menjadi harapan keluarga untuk merubah masa depan mereka,” katanya.

Jonathan dan lain-lain dalam majlis di SK Pinawantai itu


Beliau berterima kasih dan mengucap tahniah kepada pihak pentadbir, guru-guru dan seluruh warga SK Pinawantai kerana berjaya menganjurkan program tersebut dengan lancar dan baik.


“Syabas dan tahniah juga atas dedikasi serta komitmen semua dalam menganjurkan program ini dan diharapkan agar tradisi penganjuran program ini akan terus dilaksanakan di masa akan datang,” katanya.


Dalam pada itu, Jonathan turut memberitahu pihak sekolah agar mengajukan sebarang permohonan untuk sebarang projek di sekolah-sekolah kepada Kementerian Pendidikan kerana kerja-kerja berkaitan dengan sekolah mesti dilaksanakan melalui kelulusan kementerian tersebut.


“Bukan kita tidak membantu di peringkat Pejabat Parlimen, tapi itulah saluran yang sepatutnya, memandangkan Kementerian juga mempunyai peruntukan yang tinggi untuk projek-projek berkaitan sekolah.


“Walaubagaimanapun, sekiranya betul-betul ada keperluan yang mendesak, kita akan cuba usahakan sekiranya kerja-kerja yang melibatkan pembaikan kecil-kecilan,” jelas beliau.


Tambahnya, Kementerian mempunyai tanggungjawab yang penting dalam memberikan pembangunan yang seimbang bagi Sabah dan Sarawak, lebih-lebih lagi dari sudut pembangunan sekolah dan pendidikan.


Dalam majlis itu, Jonathan turut menyumbangkan peruntukan sebanyak RM5,000 dalam membiayai penganjuran beberapa program sekolah yang dirancangkan.


Sementara itu, Guru Besar SK Pinawantai, Roseline Liji, mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Jonathan serta rombongan beliau ke majlis itu dan berterima kasih kepada beliau atas kesudian meluangkan masa untuk hadir dalam acara tersebut.


Turut hadir di majlis itu, Ketua Unit Kesejahteraan Rakyat DUN Kundasang, Jackson Musi, Yang DiPertua PIBG SK Pinawantai, David Nail, pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN