28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penjawat awam perlu hayati hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)

JAHID Mendengar Taklimat Daerah Keningau yang disampaikan oleh Hassan.

KENINGAU: Kakitangan kerajaan perlu menghayati hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sebagai pelaksana dasar, semua kakitangan jabatan diseru untuk benar-benar mengamati dan menghayati semangat slogan ‘Sabah Maju Jaya’ yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. 

“Anda sebagai pelaksana dasar, manakala kami sebagai perancang dasar, teruskan kecemerlangan, biar semangat hala tuju SMJ dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan mencapai matlamat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Lawatan Kerja beliau di Pejabat Daerah Keningau di sini hari ini. 

Turut hadir Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN Tulid, Flovia Ng dan Pegawai Daerah Keningau yang baharu Walter Kenson. 

Katanya, di bawah slogan Sabah Maju Jaya (SMJ), jentera pentadbiran Ketua Menteri, telah menyediakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.  

Hala tuju itu menggariskan tiga teras utama, masing-masing diwakili huruf S, M dan J yang diambil daripada singkatan SMJ. 

Tiga teras utama yang dimaksudkan adalah Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. 

Katanya, kerjasama sebagai sebuah pasukan amat penting, bagi memastikan apa sahaja perancangan serta aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan. 

Sementara itu, Jahid turut menasihatkan Pegawai Daerah agar menggunakan pendekatan terbaik untuk menyelaraskan kerjasama yang maksima dalam kalangan ketua-ketua jabatan negeri mahu pun Persekutuan bagi memenuhi matlamat SMJ. 

JAHID (tengah)bersama Robert (dua dari kiri) dan Flovia (dua dari kanan) mengabadikan kenangan bersama kakitangan Pejabat Daerah Keningau. 

“Bersama kita menggembleng tenaga semua agensi kerajaan yang ada di daerah ini untuk memastikan kelicinan perjalanan program pembangunan daerah, di samping memastikan matlamat SMJ dapat dicapai,” serunya.

Justeru, beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, mengharapkan agar kakitangan Pejabat Daerah akan bersikap lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. 

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan kemudahan rangkaian jalur lebar internet yang menjadi satu keperluan masyarakat masa kini, untuk ditambah baik di seluruh daerah. 

Sementara itu, katanya, senarai e-Kasih juga perlu dikemaskini terutamanya berkaitan kelayakan kepada rakyat yang lebih memerlukan. 

Terdahulu, Pegawai Daerah (DO) Keningau, Hassan Mahali, menghargai lawatan tersebut yang merupakan satu suntikan semangat kepada mereka. 

Turut diadakan Taklimat Daerah Keningau oleh Hassan, dan sesi bergambar bersama Jahid dan kakitangan Pejabat Daerah Keningau. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN