Abidin menerima cenderahati daripada pihak penganjur seminar itu
RANAU: Penjawat awam harus pandai menilai dan tidak sewenang wenangnya melaksanakan arahan jika arahan tersebut tidak sejajar dengan peraturan, nasihat Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Prinsip saya adalah segala arahan pihak atasan atau Menteri akan dilaksanakan jika arahan tersebut selaras dengan peraturan tetapi sebaliknya jika ia bercanggah dengan peraturan sudah tentu kita tidak akan laksanakannya.
“Saya berpendapat ini adalah salah satu teras Malaysia Madani.
“Justeru, saya menyeru kepada semua penjawat awam di Daerah Ranau supaya pandai menyesuaikan keadaan dan mengambil pendekatan menyantuni rakyat bersesuaian dengan kedudukan kita sebagai pusat eco pelancong yang terkenal di Negeri Sabah,” katanya.
Menurut Abidin, penjawat awam di Daerah Ranau harus memainkan peranan untuk membantu kerajaan menangani masalah infrastruktur seperti rangkaian jalanraya yang terhad, bekalan eletrik dan air yang masih mengalami masalah dan juga capaian internet yang terbatas.
“Pejawat Awam semada Negeri ataupun Persekutuan harus bekerjasama dalam melaksanakan program dan dasar-dasar kerajaan, seperti usaha menangani bencara alam harus ada kerjasama di antara PKOB dan NADMA.
“Libatkan diri dan mainkan peranan bersama-sama membangun Ranau yang kita sayangi,” kata beliau.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Penjawat Awam Ranau yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Rabu.
Menurutnya, seminar diadakan bagi mengukuhkan semangat patriotism dan kefahaman tentang Malaysia Madani di kalangan penjawat awam khususnya di Daerah Ranau.
Beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama Pejabat Daerah kerana berjaya menganjurkan seminar berkenaan.

Abidin (tengah) dan lain-lain dalam seminar itu
Tambah beliau, semasa beliau menjadi penjawat awam selama lebih 30 tahun (22 tahun sebagai Setiausaha Tetap Kementerian dan dua penggal sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu), beliau amat faham dengan tanggung jawab sebagai penjawat awam.
“Adalah penting untuk kita memperkukuhkan kefahaman tentang Kenegaraan khususnya di kalangan penjawat awam.
“Kenegaraan bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku, mengenali Jalur Gemilang atau menghafal Rukunegara, tetapi lebih penting daripada itu kita harus menanam semangat cintakan negara dan menanam semangat patriotisma yang tinggi.
“Mengenali dan menyanyangi negara kita adalah tanggung jawab setiap rakyat Malaysia dan bukan hanya di kalangan penjawat awam,” kata beliau.
Abidin turut menyarankan agar pihak penganjur untuk terus mengadakan seminar seperti ini di masa yang akan datang memangangkan ia memberi begitu banyak manfaat kepada para peserta seminar.
Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam berkata, seminar kenegaraan itu merupakan anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (dahului dikenali sebagai Biro Tata Negara) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Daerah Ranau dan Majlis Daerah Ranau.
Antara lain tujuan program diadakan, katanya, adalah untuk menangani masalah info yang tidak berapa tepat disalurkan kepada penjawat awam yang boleh memberi kesan negatif jika ianya dikongsi kepada orang ramai.
“Seminar ini juga memberi pemahaman yang amat baik tentang Malaysia Madani kepada peserta seminar.
“Diharap seminar yang disertai oleh lebih kurang 200 orang penjawat awam Daerah Ranau ini memberi manfaat dan membina jatidiri sayangkan negara,” jelas beliau.
Turut hadir, Penolong Pengarah AKM, Darwis Dawing, PPM, Hishamudin Harun, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer M Satur, Ketua-ketua Jabatan, dan lain-lain.



